33 lelaki didenda merusuh di pusat hiburan kena penjara 10 bulan

33 lelaki didenda merusuh di pusat hiburan kena penjara 10 bulan

Mereka dikenakan hukuman penjara 10 bulan selain denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret sebelum ini.

Cheras KTV attack
Seramai 32 individu sebelum ini didenda RM3,000 manakala dua lagi remaja berusia 19 tahun didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistet kerana merusuh di pusat hiburan di Cheras.
KUALA LUMPUR:
Seramai 33 individu masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana merusuh menggunakan senjata di sebuah premis hiburan di Cheras awal bulan ini.

Hakim Aslam Zainuddin, yang menjalankan prosiding semakan di bawah Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah, berkata hukuman penjara itu dijatuhkan selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

“Hukuman ini adalah tambahan kepada hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah majistret,” katanya.

Peguam bela Damien Chan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Responden kini perlu mendapatkan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Rayuan. Walau bagaimanapun, mereka boleh memfailkan permohonan bertulis kepada mahkamah ini,” kata hakim.

Aslam turut mengeluarkan waran tangkap terhadap A Ganasan yang gagal hadir ke prosiding walaupun telah dimaklumkan.

Pada 10 April, Mahkamah Majistret mengenakan denda RM3,000 ke atas 32 tertuduh selepas mereka mengaku bersalah. Dua individu berusia 19 tahun masing-masing didenda RM2,000 bagi kesalahan sama. Kesemua mereka telah membayar denda tersebut.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memanggil semakan untuk menentukan ketepatan, kesahan dan kewajaran hukuman tersebut di bawah Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah.

Seramai 34 tertuduh, berumur antara 19 hingga 57 tahun, didakwa memiliki pelbagai senjata termasuk senjata api, peluru, bahan letupan dan mudah terbakar, serta kayu dan batu yang boleh digunakan untuk melakukan serangan di sebuah premis hiburan di Cheras pada 5 April.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman sehingga lima tahun penjara, denda, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nordin Ismail berkata hukuman denda sahaja adalah jelas tidak mencukupi memandangkan kesalahan itu melibatkan senjata berbahaya.

“Kepentingan awam menuntut agar hukuman mereka dipertingkatkan, lebih-lebih lagi kerana senjata berbahaya digunakan dalam jenayah tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Chan merayu agar mahkamah mengekalkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret kerana tiada mangsa yang cedera dalam insiden tersebut.

“Mereka juga mengaku bersalah pada peringkat awal dan telah menunjukkan penyesalan,” katanya, sambil menambah bahawa terdapat perbincangan mengenai pampasan kepada pengendali premis hiburan itu.

Peguam Baljit Singh Sidhu, yang mewakili Bao Li Jin Sdn Bhd selaku pihak pemerhati, berkata undang-undang mesti mengawal masyarakat.

“Apa yang berlaku pada hari kejadian adalah satu perancangan yang sistematik dan tersusun yang menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Baljit turut berkata hukuman yang lebih berat akan memberi mesej jelas kepada bakal pesalah, sambil menegaskan persaingan perniagaan bukan alasan untuk keganasan atau kerosakan harta benda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.