Singapura sedia timbang semula cadangan HSR

Singapura sedia timbang semula cadangan HSR

Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Singapura Maliki Osman berkata negaranya sedia melihat 'sebarang cadangan' mungkin dikemukakan Malaysia.

Projek kereta api berkelajuan tinggi sepanjang 350km mampu mengurangkan masa perjalanan Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit. (Gambar Bernama)
SINGAPURA:
Singapura sedia menimbang cadangan Malaysia menghidupkan semula projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) tanpa mengira keputusan sebelum ini.

Malaysia dan Singapura pernah menandatangani perjanjian bagi projek sepanjang 350km itu pada hujung 2016, yang sepatutnya siap pada 2026, mengurangkan tempoh perjalanan dari Kuala Lumpur ke republik berkenaan kepada 90 minit.

Projek landasan itu dibatalkan pada 1 Jan 2021, dengan Malaysia membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura sebagai sebahagian syarat mengikut perjanjian.

Dilaporkan, Singapura enggan menerima cadangan Putrajaya mengeluarkan pembekal sistem dan pengendali rangkaian HSR, yang sepatutnya bertanggungjawab kepada kedua-dua negara.

Mengambil maklum desakan sesetengah pihak di Malaysia mahu projek itu dihidupkan semula, Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Singapura, Maliki Osman, berkata negaranya sedia melihat “sebarang cadangan” mungkin dikemukakan Malaysia.

“Kami sudah menyatakan perkara itu. Jika anda tanya saya bila, saya tidak tahu,” katanya kepada pemberita Malaysia dalam lawatan, semalam.

“Kami masih menunggu apa saja cadangan mungkin dikemukan Malaysia dan kami sedia melihatnya secara ‘clean slate’.

“(Kami) tidak lihat kepada (cadangan) terdahulu sama sekali, (tetapi) melihat apa cadangan (lain) dan apakah kemungkinan perkara ingin Malaysia pertimbangkan.”

Pada November 2021, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, berkata republik itu terbuka kepada sebarang cadangan dari Malaysia berhubung projek HSR.

Ditanya sama ada Perdana Menteri Anwar Ibrahim membangkitkan isu itu dalam lawatan rasmi sehari ke Singapura pada 30 Jan lalu, Maliki berkata beliau tidak pasti.

“Namun, kami sudah menyatakan perkara itu sekiranya ada sebarang minat, sila beri cadangan kepada kami,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.