Polis tahan doktor disyaki cabul pesakit kanak-kanak

Polis tahan doktor disyaki cabul pesakit kanak-kanak

Polis percaya ramai lagi kanak-kanak perempuan menjadi mangsa susulan penemuan beberapa gambar dalam telefon bimbit suspek.

Doktor berusia 30 tahun itu ditahan tengah hari semalam selepas laporan dibuat ibu mangsa. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Seorang doktor di Hospital Kemaman, Terengganu, ditahan semalam selepas disyaki mencabul pesakit kanak-kanak perempuan.

Kejadian melibatkan mangsa berusia 12 tahun itu berlaku di wad kanak-kanak hospital itu.

Ketua Polis Terengganu, Rohaimi Md Isa, berkata doktor lelaki berusia 30 tahun itu ditahan 1.50 tengah hari semalam, selepas pihaknya menerima laporan dibuat ibu mangsa, pada malam Rabu lalu.

“Mangsa memaklumkan suspek merupakan seorang doktor yang merawatnya, telah membuka baju dan meraba dada serta merakam gambar mangsa melalui telefon bimbit milik suspek. Kejadian berlaku di bilik rawatan wad tersebut,” katanya menurut Bernama.

Rohaimi berkata, telefon bimbit milik suspek turut dirampas bagi membantu siasatan.

Katanya, polis percaya terdapat ramai lagi mangsa kanak-kanak perempuan berdasarkan penemuan awal terhadap beberapa gambar dalam telefon bimbit suspek.

“Siasatan lanjut dijalankan dan rakaman percakapan saksi lain akan diambil sebagai keterangan dalam kes ini,” katanya.

Katanya, suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.