Gesa siasat parti lain bukti Bersatu ‘ketakutan’, kata Puad

Gesa siasat parti lain bukti Bersatu ‘ketakutan’, kata Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi itu berkata parti diterajui Muhyiddin Yassin perlu bersikap 'gentleman' berdepan siasatan SPRM.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zakarshi, berkata Bersatu tidak perlu takut sekiranya tidak melakukan apa-apa kesalahan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Gesaan bekas pembantu Muhyiddin Yassin yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat akaun parti politik lain membuktikan Bersatu ‘ketakutan’ apabila rekod kewangannya sedang diteliti, kata pemimpin Umno.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi berkata munasabah siasatan dilakukan terhadap Bersatu memandangkan parti itu dilihat mempunyai banyak wang untuk dibelanjakan pada kempen PRU lalu, walaupun agak baharu.

Beliau berkata, terdapat juga dakwaan salah laku pemimpin Bersatu yang berkhidmat dalam kerajaan PN sebelum ini.

Minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, mengesahkan akaun Bersatu dibekukan mengikut undang-undang pengubahan wang haram.

Difahamkan, pembekuan akaun Bersatu itu berkait siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit yang dimaksudkan untuk pakej rangsangan Covid-19.

Pada 3 Feb, Marzuki yang juga bekas ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin, menuntut SPRM melakukan siasatan terhadap perbelanjaan pilihan raya oleh PKR dan DAP, yang didakwanya berjumlah “beratus juta”

Puad berkata Marzuki tidak sepatutnya menuding jari kepada pihak lain. “Muhyiddin sendiri berkata Bersatu bersih dan menolak rasuah. Jadi, berdepanlah siasatan seperti ‘gentleman’,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, berkata gabungan itu sedia berdepan sebarang siasatan berhubung akaun kewangannya.

Anwar berkata PH sentiasa menghantar penyata kewangan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) secara tahunan untuk diaudit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.