
Hakim Has Zanah Mehat berkata MAIPs membuktikan ia mempunyai kes untuk mencelah, menurut Aturan 15 Kaedah 6(2) Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, yang dibaca bersama Seksyen 96 Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976.
“Dua peruntukan itu apabila dibaca bersama memberikan hak kepada pemohon di sisi undang-undang untuk mencelah.
“Kami dengan ini membenarkan rayuan itu dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi,” kata Has Zanah, yang menghakimi rayuan itu bersama See Mee Chun dan Nazlan Ghazali.
Has Zanah berkata sidang hakim tidak perlu sentuh persoalan sama ada kanak-kanak yang terbabit beragama Islam kerana hal itu akan ditentukan dalam prosiding lain yang dijadualkan didengar bulan depan.
Peguam MAIPs, Haniff Khatri Abdullah berkata anak guamnya berhasrat untuk memfailkan permohonan ke mahkamah keluarga di Kuala Lumpur untuk meminda perintah hak penjagaan yang diberikan kepada Loh pada Mac 2021.
“Kami akan hujahkan kepada mahkamah kenapa perintah itu dipinda,” katanya kepada pemberita selepas prosiding.
Mahkamah Tinggi pada 15 Jun menolak permohonan MAIPs untuk mencelah, kerana gagal menunjukkan bahawa ia “diperlukan” dalam kehidupan kanak-kanak terbabit.
“Anak-anak itu bukan yatim piatu. Mereka bukan milik masyarakat negeri (Perlis) dan mereka kini menetap di Selangor.
“Hubungan mereka dengan Perlis adalah ‘sementara’,” kata Hakim Evrol Mariette Peters.
Terdahulu, Haniff berhujah kepada mahkamah bahawa MAIPs merupakan pihak berkepentingan kerana kanak-kanak terbabit beragama Islam menurut enakmen Perlis.
“Kanak-kanak bawah umur itu perlukan bimbingan kerana mereka beragama Islam,” katanya.
Haniff juga berkata MAIPs boleh sediakan bantuan zakat untuk membantu Loh menjaga anak-anaknya itu.
Peguam Loh, A Srimurugan, bagaimanapun berhujah MAIPs tidak boleh terlibat dalam prosiding kahwin dan cerai membabitkan orang bukan Islam.
“Hanya bekas suami Loh (M Nagahswaran) boleh celah untuk meminda hak penjagaan yang diberikan kepada Loh,” katanya.
Nagahswaran dikatakan membawa kanak-kanak terbabit ke Perlis, di mana beliau menukar agama mereka secara sebelah pihak pada 7 Julai 2020.
Kanak-kanak terbabit, iaitu dua kembar perempuan berusia 15 tahun dan seorang lelaki berusia 11 tahun, dijaga oleh seorang individu lain, Nazirah Nanthakumari Abdullah.
Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2020 memberikan hak penjagaan penuh kanak-kanak terbabit kepada Loh. Perceraian Loh dan Nagahswaran dimuktamadkan pada 23 Sept 2021. Perintah Mahkamah Tinggi pada Februari tahun lepas menyatukan Loh dengan anak-anaknya.
Loh pada Mac 2022 memohon mahkamah menyemak penukaran agama secara sebelah pihak ke atas anak-anaknya. MAIPs pada bulan sama mohon mencelah prosiding hak penjagaan Loh.