Peguam dakwa polis gagal bawa pulang kanak-kanak ‘dilarikan ke Dubai’

Peguam dakwa polis gagal bawa pulang kanak-kanak ‘dilarikan ke Dubai’

R Renuga berkata polis masih belum mengeluarkan amaran Interpol hampir dua tahun selepas Krisha Kannan hilang ketika pertelingkahan hak penjagaan.

V Thevitthra
V Thevitthra diberikan hak penjagaan anaknya, Krisha Kannan, oleh Mahkamah Rayuan. (Gambar V Thevitthra)
PETALING JAYA:
Seorang ibu mempertikai kegagalan polis mengambil tindakan walaupun terdapat ‘bukit jelas’ anak perempuannya berusia empat tahun yang dilaporkan hilang hampir dua tahun lalu, kini berada di Dubai bersama si bapa.

Krisha Kannan didakwa dilarikan pada September 2023 ketika lawatan oleh bapanya seperti diarahkan mahkamah.

Ibu kanak-kanak itu, V Thevitthra mendapat perintah Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan semula anaknya itu dengan polis mengesahkan pada Ogos bahawa perintah pemulangan akan dikuatkuasakan, menurut peguamnya, R Renuga Ramayah.

Namun, tiada tindakan diambil setakat ini.

“Polis belum mengeluarkan notis Interpol walaupun rayuan akhir si bapa telah ditolak, selain bukti jelas menunjukkan kanak-kanak itu berada di Dubai,” katanya kepada FMT.

“Tanpa notis itu, pihak berkuasa asing tidak boleh bertindak. Penangguhan ini menyebabkan si ibu terus menderita.”

FMT telah menghubungi polis untuk mengulas perkara itu.

Dokumen dilihat FMT menunjukkan kanak-kanak itu mempunyai visa untuk tinggal di Dubai sehingga Disember 2026, di bawah bapanya Kannan Rajaratnam, 38, yang juga bekerja di sebuah syarikat di situ.

Rekod turut menunjukkan beberapa ahli keluarga Kannan termasuk ibu dan seorang saudara perempuan mempunyai visa untuk tinggal di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Ini bukan kes pihak berkuasa tidak tahu di mana kanak-kanak itu berada. Seluruh keluarga berada di situ. Bukti ada dalam hitam putih,” kata Renuga.

Katanya, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah untuk polis menahan ahli keluarga dipercayai membantu Kannan memastikan kanak-kanak itu terus berada di luar negara. Beliau mendakwa ‘polis tidak mengendahkan perintah itu’.

“Semua ini menyokong dakwaan si ibu dari awal lagi, iaitu Krisha dibawa ke Dubai dan ditahan di situ dengan bantuan ahli keluarga,” katanya.

Thevitthra tidak menemui Krisha sejak 2 Sept 2023, ketika kanak-kanak itu dilarikan dari sebuah pusat beli-belah di Pulau Pinang ketika lawatan yang diselia.

Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian menyerahkan hak penjagaan tunggal kepada si ibu dan mengarahkan bapa Krisha segera memulangkan kanak-kanak berkenaan.

Mahkamah Rayuan membatalkan permohonan Kannan mencabar perkara itu dengan keputusan sama dikekalkan Mahkamah Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.