Bekas suami Loh meninggal dunia sebelum bicara kes dera bermula

Bekas suami Loh meninggal dunia sebelum bicara kes dera bermula

Kematian Muhammad Nagahswaran Muniandy disahkan peguam Loh Siew Hong, Shamsher Singh Thind.

loh siew honh
Loh Siew Hong terbabit kes perebutan hak penjagaan tiga anaknya dengan bekas suami yang juga mualaf Muhammad Nagahswaran Muniandy.
PETALING JAYA:
Muhammad Nagahswaran Muniandy, bekas suami Loh Siew Hong meninggal dunia semalam pada usia 38 tahun.

Perkara itu disahkan peguam Loh, Shamsher Singh Thind.

Mereka terbabit kes perebutan hak penjagaan anak selepas Nagahswaran yang juga mualaf, membawa tiga anak mereka ke Perlis dan menukar agama mereka kepada Islam secara sebelah pihak pada 2020.

Ketika itu, beberapa perintah mahkamah sudah menyerahkan hak penjagaan anak kepada Loh, bermula dengan perintah interim pada Disember 2019 yang kemudian bertukar kepada hak penjagaan penuh pada Mac 2021. Perceraian mereka dimuktamadkan pada September 2021.

Muhammad Nagahswaran Muniandy
Muhammad Nagahswaran Muniandy.

Loh, yang meninggalkan Nagahswaran pada 2019 selepas mendakwa didera lelaki itu, memfailkan permohonan habeas corpus untuk mendapatkan semula tiga anaknya pada awal 2022.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan memihak kepadanya dan beliau disatukan semula dengan anak-anaknya, yang pernah diletakkan bawah jagaan pendakwah Nazirah Nanthakumari Abdullah.

Pada tahun sama, Loh memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar penukaran agama mereka. Pada April 2024, Mahkamah Persekutuan memutuskan kedua-dua ibu dan bapa mesti bersetuju sebelum seorang kanak-kanak boleh menukar agama, serta mengesahkan tiga anak Loh kekal beragama Hindu.

Rayuan terakhir kerajaan Perlis untuk mengembalikan status tiga anak itu sebagai Muslim ditolak April lalu.

Nagahswaran memiliki satu rekod jenayah dan pernah menjalani hukuman penjara di Kelantan atas kesalahan berkaitan dadah.

Sabitannya didedahkan ketika kes perebutan hak penjagaan anak dengan Loh dan menjadi antara alasan dikemukakan wanita itu dalam usaha mendapatkan hak penjagaan tiga anaknya.

Tempoh Nagahswaran dipenjarakan bertepatan masa Loh menyatakan dirinya sedang pulih daripada penderaan dan menerima rawatan di hospital, sekali gus merumitkan lagi kes berprofil tinggi ini.

Nagahswaran didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Julai 2023 atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Loh di rumah mereka di Taman Ria, Sungai Petani pada 3 Mac 2019.

Beliau mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM10,000 serta diarah menjauhkan diri daripada Loh dan saksi sementara menunggu perbicaraan.

Mahkamah Sesyen menetapkan perbicaraan jenayah itu bermula September ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.