14 tahun ibu daki tangga JPN, KDN untuk perbetul kesilapan lampau

14 tahun ibu daki tangga JPN, KDN untuk perbetul kesilapan lampau

Ramya Thamarai Selvan harapkan keajaiban dalam usaha memasukkan nama bapa dalam kad pengenalan anak.

jpn
Ramya Thamarai Selvan sertai Program MyIdentiti untuk dapat nasihat bagi memudahkan prosedur di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memasukkan nama bapa dalam kad pengenalan anak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Selama 14 tahun seorang wanita tabah berulang-alik ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri demi memasukkan nama mendiang pasangannya dalam kad pengenalan anak mereka.

Nama bapa kepada dua anak Ramya Thamarai Selvan, 35, tidak tertera lantaran ‘kesilapan’ lampau tidak mendaftarkan perkahwinan — menyebabkan setiap hal yang lazim seperti mendapatkan rawatan atau persekolahan menjadi rumit apabila mengundang pertanyaan pegawai yang curiga.

Selepas lebih sedekad berusaha, wanita ini mengharapkan suatu keajaiban daripada doa yang dilantunkan setiap hari.

“Tanpa nama ayah, banyak urusan pendidikan dan rasmi jadi susah. Anak pun tertekan bila masyarakat dan kawan tanya siapa ayah, mereka tak mampu jawab. Emosi mereka terganggu. Saya hanya mahu mereka hidup macam anak-anak lain,” katanya ketika ditemui FMT.

Pasangannya meninggal dunia akibat kemalangan ketika anak lelaki Ramya baru berusia 2 tahun dan anak perempuan masih dalam kandungan. Dua adik-beradik itu kini berusia 14 dan 12 tahun.

“Pihak JPN beritahu sebab kami tak daftar nikah, jadi anak tak layak letak nama bapa. Kami akui itu kesilapan kami tapi bila suami saya meninggal dunia dan anak pula tak ada nama bapa, itu amat menyusahkan,” katanya.

Ramya antara lebih 100 yang menyertai Program MyIdentiti anjuran DUN Kota Kemuning dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Kemajuan Masyarakat, yang memberi khidmat nasihat dan penerangan kepada rakyat berdepan isu dokumentasi seperti kewarganegaraan, sijil kelahiran, status anak angkat dan kad pengenalan merah, pada Ahad.

Effa Melia Insah Sumolang, 44, sudah 21 tahun menanti kelulusan permohonan kad pengenalan merah berstatus penduduk tetap, walaupun sudah berkahwin dengan seorang warganegara Malaysia sejak 2004.

Effa Melia Insah Sumolang
Effa Melia Insah Sumolang.

“Tanpa kad pengenalan, hidup saya terbatas. Saya ada masalah kesihatan dan terpaksa ke hospital swasta, kosnya sangat tinggi. Urusan bank pun susah. Kadang-kadang rasa putus asa,” katanya.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata yang berstatus warganegara dengan kad pengenalan biru, berbanding dirinya yang masih menunggu pengiktirafan sebagai pemastautin tetap.

Maznah Musa, 44, pula merayu kerajaan meluluskan penjagaan ke atas anak angkat berusia 12 tahun, yang dipelihara sejak berusia empat hari.

“Saya dapat anak ini daripada ibu kandungnya warga Sri Lanka. Semua proses mahkamah dah selesai tapi bila nak daftar dengan JPN permohonan ditolak. Sampai sekarang belum dapat status penjagaan sah,” katanya.

Rafidah Abdullah, 45, bekas penghuni pusat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), meluahkan rasa kecewa apabila sehingga kini tidak memiliki kad pengenalan.

“Tanpa kad pengenalan, saya tak boleh buka akaun bank, tak boleh sambung belajar, tak boleh berkahwin. Saya cuba mohon berpuluh tahun tapi masih gagal. Sejak lahir saya tinggal di rumah kebajikan,” katanya dengan nada sayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.