Kod Sukan Selamat akan dilaksana sebelum RUU dibentang di Parlimen, kata menteri

Kod Sukan Selamat akan dilaksana sebelum RUU dibentang di Parlimen, kata menteri

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, beliau tidak mahu berlengah lagi dalam memastikan persekitaran sukan selamat.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, Akta Sukan Selamat mungkin bertindih dengan pelaksanaan Akta Anti-Gangguan Seksual.
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mahu melaksanakan Kod Sukan Selamat bagi memastikan persekitaran sukan yang selamat dengan segera, sebelum rang undang-undang berkaitan dibentangkan di Parlimen.

Yeoh dipetik Malay Mail sebagai berkata pembentangan RUU di Parlimen akan mengambil masa manakala suatu kod pula boleh dilaksanakan seawal Mac.

“Saya memutuskan kita akan teruskan dengan kod itu kerana kita sudah mempunyai perundangan sedia ada dan saya tidak mahu mengelirukan pihak berkepentingan.

“Saya tidak mahu berlengah dalam mewujudkan (persekitaran) sukan yang selamat,” katanya.

Menteri itu berkata, terdapat “terlalu banyak pusingan perlu dilalui sebelum ia (RUU) boleh dibentangkan di Parlimen, dan saya rasa kita tiada masa untuk itu.”

Pada Mac 2022, menteri belia dan sukan ketika itu, Ahmad Faizal Azumu, berkata draf Akta Sukan Selamat akan siap menjelang akhir tahun.

Faizal berkata, ia akan menjadi garis panduan bagi pemegang taruh untuk memerangi gangguan seksual dan memastikan wujud mekanisme undang-undang melindungi mereka terlibat dalam sukan.

Pada 2021, jaguh terjun negara Pandelela Rinong mendedahkan beliau berdepan gangguan seksual dan gurauan lucah oleh seorang bekas jurulatih selama tujuh tahun. Beliau tampil berkongsi pengalamannya untuk menggalakkan mangsa lain turut bersuara, katanya.

Yeoh berkata Akta Sukan Selamat mungkin juga bertindih dengan pelaksanaan Akta Anti-Gangguan Seksual, yang menurutnya akan “digunakan terlebih dahulu” oleh kementerian, sambil mengambil perhatian terhadap sebarang kelemahan dalam undang-undang tersebut sebelum membuat penambahbaikan.

“Kita ada Kanun Keseksaan, kemudian kita ada Akta Kerja. Jika jurulatih dituduh melakukan gangguan seksual, kita juga ada Akta Anti Gangguan Seksual.

“Terdapat begitu banyak (undang-undang yang boleh digunakan) dan saya tidak mahu ia mengelirukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.