Bayi masih bertali pusat ditinggal bawah kerusi

Bayi masih bertali pusat ditinggal bawah kerusi

Bayi berusia kira-kira lima hari hingga seminggu ditemukan di bawah kerusi di belakang dapur seorang penduduk Kondo Rakyat Kuala Ibai, semalam.

Anggota polis mendukung seorang bayi ditinggalkan di sebuah rumah di Kuala Terengganu untuk dibawa ke hospital. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Seorang bayi lelaki masih hidup dan bertali pusat ditemukan di Kondo Rakyat Kuala Ibai petang semalam.

Bayi yang dianggarkan berusia antara lima hari hingga seminggu itu ditemukan oleh seorang penduduk, Ahmad Fauzi Sulaiman, 28, di bawah kerusi kayu di belakang dapur rumahnya pada 6.05 petang ketika baru pulang dari kerja.

Fauzi terdengar suara tangisan bayi dari arah belakang rumah, bagaimanapun tidak endah kerana menyangka ia dari rumah jiran.

“Selepas mengamatinya lebih lama, saya ke belakang dan terkejut apabila mendapati seorang bayi berada di atas simen di bawah kerusi kayu panjang,” katanya.

Fauzi berkata bayi berkenaan ketika ditemukan hanya memakai lampin pakai buang dan terdapat sehelai kain pelikat dipercayai digunakan untuk membalut tubuh bayi berkenaan.

“Alhamdulilah bayi tersebut nampaknya sihat dan tiada kecederaan yang ketara,” katanya. Bapa mertuanya menghubungi pihak polis yang tiba pada kira-kira 7.30 malam.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Abdul Rahim Md Din, meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan bayi itu supaya menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.