
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, hasrat itu selari dengan konsep Malaysia Madani yang turut memberi penekanan kepada aspek kemampanan dengan konsep kota hijau dan kota pintar.
“Jabatan Wilayah Persekutuan turut merangka agenda pembangunan untuk masa depan secara mampan, berdaya huni dan pintar,” katanya.
“Antara program lain yang telah disusun adalah penggunaan bas elektrik Kuala Lumpur, Wangsa Maju sebagai bandar perintis rendah karbon, penambahan pemasangan CCTV di Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta pemasangan Wi-Fi di projek perumahan rakyat dan perumahan awam di Labuan.”
Beliau berkata demikian ketika Sembah Ucapan Menjunjung Kasih sempena Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 di Istana Negara hari ini.
Anwar berkata, berdasarkan pencapaian kemampanan bandar Wilayah Persekutuan yang diukur melalui MURNInets (Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia) oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), ketiga-tiga Wilayah Persekutuan mencapai tahap mampan dengan cemerlang pada tahun lepas.
Selain itu, katanya, usaha tebatan banjir akan diteruskan dengan lebih gigih selaras pelan mitigasi banjir yang telah disediakan.
“Patik amat meyakini bahawa Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi akan terus bergerak sederap sebagai satu jentera pasukan perkhidmatan awam untuk mentadbir dan mengurus kemajuan dan pembangunan Wilayah Persekutuan.
“…patik bertekad memastikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ditadbir dan diterajui dengan sebaiknya agar manfaat kemakmuran dan keamanan dinikmati rakyat jelata yang rencam kaum dan budaya,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 164 penerima sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023 dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023.