Menu Rahmah RM5 untuk miskin tegar minggu depan, kata menteri

Menu Rahmah RM5 untuk miskin tegar minggu depan, kata menteri

Menu itu diperkenalkan selepas KPDN memeterai MoU dengan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia dan Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata menu pada harga RM5 dan ke bawah merangkumi nasi, ayam atau ikan dan sayur.
BANGI:
Kerajaan akan memperkenal Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makanan pada harga RM5 dan ke bawah khusus untuk golongan miskin tegar tidak lama lagi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, menu berkenaan merangkumi nasi, ayam atau ikan dan sayur akan dilaksanakan selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia dan Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia, minggu depan.

“Menu ini dikhususkan kepada golongan miskin tegar yang memerlukan makanan siap masak pada harga munasabah,” katanya selepas jelajah mesra dan pemeriksaan Ops Menu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, menu berkenaan tercetus menerusi sesi libat urus KPDN bersama pemain industri semalam bagi mencari kaedah terbaik menangani isu kenaikan harga makanan dalam situasi “menang-menang” bagi mengurangkan kos operasi serta menawarkan harga munasabah kepada pelanggan.

Mengenai pelaksanaan Ops Menu 3.0 yang bermula 23 Jan lalu, Salahuddin berkata, sebanyak 614 premis makanan diperiksa di seluruh negara, dengan sembilan tindakan dikenakan kepada peniaga melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

AKHAP memperuntukkan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat manakala bagi individu, denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Bagaimanapun kerajaan mahu elak kenakan tindakan undang-undang kepada pengusaha premis makanan, jadi saya harap pengusaha premis dapat patuhi undang-undang dan beri kerjasama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.