
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata pihaknya telah membuat ‘profiling’ untuk menentukan kawasan sesuai bagi pelaksanaan program menyediakan makanan dan minuman di bawah RM5.
“Bukan lagi secara merata. Kita perlu usaha ia diperkenalkan di kawasan-kawasan tertentu seperti yang ada pekerja kilang dan kawasan perumahan kos rendah,” katanya pada penggulungan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Armizan berkata pihaknya sedar kesukaran peniaga menjalankan program terbabit yang berkonsepkan sukarela dan cuba membantu dengan menjual barangan pada harga munasabah menerusi Program Jualan Rahmah Madani (PGRM).
“Kita melihat cabaran untuk melaksanakan Menu Rahmah ini, ia bersandarkan kepada elemen kesukarelawan kepada peniaga.
“Jadi kita harap dengan pendekatan yang kita laksanakan melalui PGRM, kita dapat libatkan peniaga Menu Rahmah,” katanya.