Kenaikan premium insurans kesihatan tak diterus jika tak munasabah

Kenaikan premium insurans kesihatan tak diterus jika tak munasabah

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan mengizinkan kenaikan kecuali ada alasan munasabah.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim berkata, kos perubatan tinggi bukan disebabkan oleh pakar perubatan, tetapi penggunaan bilik hospital. (Gambar Bernama)
BUKIT MERTAJAM:
Kerajaan tidak akan bertolak ansur sekiranya premium insurans kesihatan dinaikkan tanpa alasan munasabah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kalau saya sendiri tidak yakin kenaikan itu munasabah, saya tidak akan pertahankan dan saya tidak akan izinkan.

“Ini prinsip kita, sebab sementara premium insurans itu dinaikkan, mesti ada alasan yang munasabah.

“Antara yang paling tidak munasabah adalah kadar, ia kena ada standard seperti banyak negara buat seperti Georgetown University Hospital, Washington, kalau dia bagi stent (jantung), gerenti dua atau lima tahun dan jika ada masalah dalam dua tahun, hospital itu wajib beri pengurangan, kita kena ada mekanisme macam itu,” katanya.

Perdana menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Blok Baharu Hospital Pakar KPJ Penang. Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Anwar berkata, kadar bayaran yang dikenakan kepada pesakit perlu munasabah dan mempunyai pengawasan kerana kos perubatan tinggi bukan disebabkan oleh pakar perubatan tetapi penggunaan bilik hospital.

Beliau berkata, antaranya bilik hospital bertaraf tiga bintang digunakan tetapi dikenakan kadar bilik bertaraf lima bintang, justeru perdana menteri meminta kerjasama hospital swasta dalam hal itu.

“Doktor-doktor perlu ingat bahawa tidak timbul soalan tanya sama ada, ada insurans atau tak, kalau kos itu, itulah..kalau kos itu RM1,000…RM1,000 lah, tidak perlu dibezakan. Memang kenyataan saya ini tidak popular tetapi kita harus terima kenyataan,” katanya.

Tahun lalu, perdana menteri memaklumkan kenaikan caj premium insurans sekitar 40 hingga 70% yang dikenakan terhadap pengguna masih dalam proses rundingan semula dan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) akan dimuktamadkan selepas rundingan dengan syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) serta pihak berkepentingan lain diadakan.

Sementara itu, Anwar berkata pihak pengurusan kesihatan awam dan swasta dicadangkan agar melabur di syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan mengeluarkan ubat-ubatan supaya tidak bergantung pada syarikat pengeluar ubat luar negara yang terlalu mahal.

Menteri kewangan itu berkata, kedua-dua pihak juga perlu mencari jalan dan kaedah mengurangkan kos dan berikhtiar mendapatkan alternatif yang memenuhi standard diterima dunia.

“Mengapa harus kita terbeban dengan kebergantungan kepada jenis ubat dari Amerika dan Eropah, kita perlu mencari alternatif lain yang generik dan boleh diterima, macam Brazil, India, Turki, China adalah negara terkenal dengan mengeluarkan ubat generik yang jauh lebih murah,” katanya.

Bagi menjimatkan pengurusan kesihatan, beliau berkata pihak swasta boleh mencari cara terbaik dan kompetitif iaitu membeli peralatan kesihatan secara pukal dengan kerjasama Kementerian Kesihatan supaya harganya lebih berpatutan.

Terdahulu, Anwar merasmikan blok South Wing yang baharu di Hospital Pakar KPJ Penang.

Hospital berkenaan yang dilengkapi teknologi Krioterapi Cryo-7 merupakan satu-satunya pusat perubatan di Pulau Pinang yang menawarkan sistem khusus direka mengurangkan kesakitan dan keradangan menggunakan udara sejuk semasa proses pemulihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.