
Jalil berkata, ada ‘mangsa’ yang diselamatkan dan dihantar pulang ke tanah air kemudian dikesan kembali ke negara itu untuk kembali bekerja sebagai ‘scammer’, lapor Kosmo.
Beliau yang baru pulang selepas lawatan selama tiga hari ke Kemboja berkata, ada sebahagian ‘mangsa’ sebenarnya berhutang amat banyak selepas kalah berjudi di kasino di negara itu dan mahu diselamatkan kerana tidak mampu membayar hutang kepada ‘ah long’.
“Saya pun amat terkejut kerana hasil siasatan pihak Kemboja sendiri mendapati mangsa sebetulnya bukan pun kes pemerdagangan manusia,” katanya.
Terdahulu, beliau mengiringi lima mangsa diselamatkan kerajaan Kemboja yang berusia dari 16 tahun hingga 42 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mereka berjaya dibebaskan daripada depot tahanan imigresen di sana dalam masa cuma kurang 24 jam berbanding tempoh sebenar paling minimum lebih satu bulan.
Katanya, setakat semalam seramai 116 mangsa berjaya diselamatkan dengan tinggal 29 orang masih terkandas di sana.
Jalil berkata, hasil pertemuan dengan pihak berkuasa Kemboja mendapati memang ada rakyat Malaysia didapati bekerja sebagai ‘scammer’ di negara itu, tetapi tidak pernah diseksa sekiranya gagal mencapai sasaran ditetapkan.
“Ada mangsa itu enggan tinggal di asrama pekerja, namun menetap di pelbagai hotel di Kemboja dan kemudian tidak dapat membayar bil dikenakan,” katanya.
Justeru, kerajaan Kemboja menyifatkan laporan tular segelintir media di Malaysia yang lebih memperbesarkan isu mangsa kononnya diseksa sebagai tidak tepat dan mengelirukan.
“Secara jujur, pihak sana hairan kerana rakyat negara itu tidak sabar mahu kerja di negara kita yang lebih baik tetapi pelik ada pula warga Malaysia hendak kerja di sana,” katanya.