Kumpulan hak asasi lapor polis, dakwaan ‘porno penyeksaan’ haiwan

Kumpulan hak asasi lapor polis, dakwaan ‘porno penyeksaan’ haiwan

Aktivis menggesa polis segera menahan pelaku yang merakam dan menjual rakaman tindakan menyeksa anak kera berekor panjang.

Dr Kartini Farah Rahim dan Rajesh Nagarajan (tengah) selepas membuat laporan polis di IPD Shah Alam. Di sebelah kiri, peguam yang juga aktivis, Sachpreetraj Singh Sohanpal.
SHAH ALAM:
Kumpulan hak asasi haiwan membuat laporan di IPD Shah Alam, hari ini, berhubung dakwaan seksaan terhadap anak kera ekor panjang.

Dr Kartini Farah Abdul Rahim dari Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) membuat laporan itu selepas menerima maklumat daripada kumpulan kebajikan, Lady Freethinker, dari Amerika Syarikat dan Action for Primates, dari United Kingdom.

Kartini berkata, beliau menerima maklumat dari kumpulan itu yang mendakwa pelaku merekodkan seksaan terhadap primat dan menjualnya rakaman itu dalam kumpulan Telegram, dinamakan “Monkey Haters”.

“Ia merupakan bentuk penyeksaan kejam yang sepatutnya disiasat segera oleh polis,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.

Peguam dan juga aktivis, Rajesh Nagerajan, yang bersama Kartini, berkata mereka menerima rakaman berhubung penyeksaan itu membabitkan
tindakan mencacatkan, memotong, memukul kera dengan objek tumpul, membakar, merebus, dan melapah hidup-hidup.

“Sepanjang proses itu, anak kera itu meraung dan menjerit. Pelaku juga mengambil gambar dan video dan memuatnaik ke Telegram, seperti treler,” katanya.

Sekiranya ada dalam kumpulan Telegram itu berkeinginan menonton video penuh, mereka perlu membayar kepada pelaku sejumlah wang.

“Inilah apa yang dikatakan sebagai ‘porno penyeksaan’,” katanya sambil menambah video itu dijual di seluruh dunia menerusi aplikasi media sosial.

Katanya, pelaku mesti ditahan dan dikenakan tuduhan mengikut Akta Hidupan Liar 2015 dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua rakyat Malaysia bahawa anda tidak boleh sesuka hati melakukan penyeksaan dan menjual rakaman sebagai ‘porno penyeksaan’.

“Haiwan juga makhluk hidup. Tiada seorang pun yang boleh sesuka hati menyeksa dan membunuhnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.