
Dia menuntut ganti rugi berjumlah lebih RM4 juta.
Momoh, yang memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini pagi ini, menamakan ketua pengarah penjara dan imigresen serta menteri dalam negeri sebagai responden.
Dia mendakwa, penahanannya oleh pihak berkuasa antara 15 Mac dan 23 April 2021 telah menyalahi undang-undang, walaupun memiliki visa yang sah untuk tinggal di Malaysia.
Dakwanya, penahanan itu salah serta diklasifikasikan sebagai individu yang perlu dihantar pulang.
Momoh sebelum ini dilaporkan dipenjara sehari dan denda RM12,000 oleh mahkamah majistret pada 15 Mac 2021, kerana memandu dalam keadaan mabuk.
Jabatan Imigresen kemudiannya membatalkan pas sosialnya selepas sabitan kes memandu dalam keadaan mabuk.
Peguamnya, V Vemal Arasan berkata, penahanan 40 hari itu telah melanggar haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan, kerana dia tidak dimaklumkan mengapa ditangkap.
“Plaintif (Momoh) memberitahu pada 15 Mac 2021, selepas menjalani hukuman penjara sehari, dia dikehendaki menjalani ujian Covid-19,” katanya dalam pernyataan tuntutan.
“Keputusannya akan keluar dalam masa 14 hari dan selepas itu, dia akan dibebaskan. Sebaliknya, dia ditahan di penjara sehingga dibebaskan dengan perintah mahkamah,” katanya.
Mahkamah Tinggi menetapkan 9 Feb untuk pengurusan kes itu.