UKRC dapat semula hak padang bola sepak

UKRC dapat semula hak padang bola sepak

Kerajaan Selangor mengembalikan semula padang bola sepak kepada UKRC yang menjadi pertikaian dengan MPAJ selama 10 tahun.

Kelab Rekreasi Ulu Klang berkata, padang bola sepak itu tidak diselenggara dengan baik sejak diambil alih Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada 2013.
PETALING JAYA:
Kelab Rekreasi Ulu Klang (UKRC) akhirnya mendapat hak ke atas padang bola sepaknya, sekali gus menamatkan pertikaian selama sedekad dengan Majlis perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)

Bekas presiden UKRC, Andrew Gopal dalam satu sidang akhbar berkata, kerajaan Selangor mengembalikan semula hak kelab itu ke atas padang bola sepak berkenaan pada 9 Feb lalu.

Peguam UKRC menghantar notis kepada MPAJ untuk mengosongkan padang itu pada atau sebelum 3 Okt, dan kelab akan mengambil alih pada itu pada 1 Nov ini.

“Kami dengan gembira mengumumkan pertikaian undang-undang antara UKRC dan kerajaan Selangor sudah berakhir.

“Kami berterima kasih kepada Menteri Besar Amirudin Shari dan barisan Exco negeri kerana sebulat suara bersetuju menyelesaikan isu tanah ini,” kata Andrew.

Isu mengenai hak milik padang itu bermula pada 2003 apabila kerajaan negeri mengumumkan ia sebagai padang awam. Selepas itu pada 2013, MPAJ secara rasmi mengambil alih padang tersebut.

UKRC membawa kes itu ke mahkamah dengan alasan antara lainnya padang itu tidak diselenggara dengan baik tetapi permohonan kelab itu ditolak.

Padang itu dibina pada 1959 dan secara purata UKRC membelanjakan kira-kira RM50,000 setahun untuk menyelenggara padang bola sepak itu.

Dana diperoleh daripada tajaan dan sumbangan daripada ahli serta penyokong, termasuk perniagaan.

Tambah Andrew, ahli lembaga pengarah UKRC dan pasukan undang-undang merayu kepada Amirudin ketika satu pertemuan pada tahun lalu untuk mengembalikan semula hak padang itu kepada kelab berkenaan kerana mereka menjaga padang itu lebih baik daripada MPAJ.

Kini, katanya, jawatankuasa akan menumpukan kepada membaikpulih kelab dan padang.

“Banyak kerja yang perlu dilakukan dan dalam tempoh tiga bulan akan datang, saya berharap padang UKRC ini boleh digunakan semula,” katanya.

Andrew juga mengumumkan beliau akan berundur sebagai presiden dan akan digantikan oleh Brendan Lee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.