
Bagaimanapun, tertuduh yang juga pengarah Jabatan Bangunan dan Senibina MPAJ, Ahmad Alhairi Mohamed Yusuf, 47, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi, menurut Sinar Harian.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa menerima wang tunai berjumlah RM20,000 melalui akaun Maybank miliknya tanpa sebarang balasan daripada seorang lelaki bernama Nazman Puteh, sedangkan beliau mengetahui bahawa individu tersebut mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai penjawat awam.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Taiping, Jalan Chung Thye Phin dalam daerah Larut, Matang dan Selama pada 2 November 2023.
Mengikut pertuduhan kedua pula, dia didakwa menerima RM10,000 ke dalam akaun sama tanpa sebarang balasan daripada Nazman Puteh melalui dua individu, iaitu Song Teik Sun dan Wong Huey Peng, pada tarikh dan lokasi yang sama.
Dakwaan dua pertuduhan terbabit dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri dan Muaz Ahmad Khairuddin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Nizam Abd Razak.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan bersama syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran setiap awal bulan.
Khairul Nizam bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya penyara tunggal keluarga dan menyara dua anak manakala isteri tidak bekerja.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dicadangkan pendakwaan selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan 19 Ogos.