Kerajaan digesa campur tangan isu kompaun pengusaha hotel jual bilik ‘online’

Kerajaan digesa campur tangan isu kompaun pengusaha hotel jual bilik ‘online’

Kompaun harus dibatalkan bagi melindungi kepentingan pengusaha hotel berlesen, kata Presiden MyBHA Sri Ganesh Michiel.

MyBHA menuntut penjelasan MPAJ atas tindakan mengenakan kompaun terhadap pengusaha hotel sah kerana menjual bilik secara dalam talian tanpa lesen sah. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) menggesa kerajaan agar campur tangan dalam menangani isu kompaun terhadap pengusaha hotel berlesen yang disifatkan sebagai kawal selia yang tidak adil.

Persatuan itu membuat gesaan demikian susulan insiden Majlis Perbandaran Ampang Jaya mengenakan kompaun terhadap pengusaha hotel berkenaan atas kesalahan menjual bilik secara dalam talian tanpa lesen sah.

Mengecam sikap ‘pilih kasih’ dalam tindakan penguatkuasaan berbanding penginapan sewaan jangka masa pendek yang tidak sah, Presiden MyBHA Sri Ganesh Michiel berkata, kompaun itu harus dibatalkan bagi melindungi kepentingan pengusaha hotel berlesen.

“Insiden ini menetapkan suatu duluan berbahaya dan memberi tekanan yang tidak wajar kepada hotel berlesen yang berusaha beroperasi dalam rangka kerja undang-undang. Lagipun, hotel terbabit mempunyai lesen perniagaan yang sah.

“Banyak penyedia sewaan jangka masa pendek beroperasi tanpa lesen yang sah, tanpa menghadapi pemeriksaan atau penalti serupa. Mereka tidak mematuhi standard dan peraturan yang ditetapkan boleh menjejaskan kualiti penginapan terhadap pelancong di negara ini,” katanya.

Tambahnya, pengeluaran kompaun atas jualan bilik dalam talian tanpa lesen itu ialah tindakan kawal selia berlebihan yang menghalang pertumbuhan dan daya saing hotel berlesen.

“Kami menuntut penjelasan jelas daripada MPAJ mengenai keputusan ini dan kriteria yang digunakan untuk mensasarkan hotel ahli kami.

“Ketelusan dalam penguatkuasaan adalah penting untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan dalam industri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.