
Sebanyak 86 keluarga yang sebelum ini menetap di Kampung Sungai Temon juga akan disediakan rumah dan kemudahan di kawasan penempatan baharu, di Mukim Sungai Tiram.
Perjanjian itu direkodkan dalam penghakiman persetujuan membabitkan tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan, dipengerusikan Hakim Yaacob Sam.
Sebagai sebahagian penghakiman persetujuan, kerajaan Johor bersetuju menyumbang RM1,500 kepada setiap 85 keluarga bagi pembelian perabot untuk kediaman baharu mereka.
Menurut perintah mahkamah, kerajaan negeri juga akan menyediakan kemudahan dan membayar pampasan RM6,500 kepada 50 keluarga peneroka Kampung Bakar Batu.
Keluarga terbabit sebelum ini ditempatkan semula oleh kerajaan negeri dalam kawasan tanah digazetkan bagi kegunaan mereka.
Saman sivil itu difailkan pada 2012 oleh 135 keluarga suku kaum Orang Seletar diwakili Eddy Salim terhadap Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar susulan kehilangan hak tanah adat mereka.
Saman itu juga menamakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Pejabat Tanah dan Galian Johor, Node Dua Sdn Bhd dan Strait Bay Sdn Bhd sebagai defendan.
Pihak plaintif juga tidak berpuas hati dengan pencerobohan dalam kawasan tanah adat oleh syarikat swasta dan individu lain, serta keengganan pihak berkuasa mengiktiraf hak mereka ke atas tanah adat dan perairannya.
Dalam saman itu, pihak plaintif yang juga dikenali Orang Laut, memohon perintah pengisytiharan berkaitan hak dan kepentingan adat komunal berhubung dengan laut, dasar laut, sungai, dasar sungai, air pasang surut, teluk, muara, pelabuhan dna pelantar benua di Johor.
Pada Mac 2017, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengiktiraf hak adat 135 keluarga ke atas tanah warisan mereka.
Mahkamah itu mengarahkan kerajaan negeri membayar pampasan kepada Orang Seletar bagi kehilangan tanah adat berdasarkan nilai pasaran.
Tanah itu berada di Kampung Sungai Temon dan Kampung Bakar Batu, di Danga Bay, di Wilayah Pembangunan Iskandar.
Tidak puas hati dengan kehilangan itu, komuniti terbabit memfailkan rayuan.
Peguam Steven Thiru, seorang daripada kumpulan guaman mewakili komuniti berkenaan, berkata pada 2018, kerajaan negeri menemui Orang Asli dalam usaha menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah.
“Susulan itu berlaku perbincangan beberapa kali sepanjang empat tahun dengan semua pemegang taruh terlibat,” katanya.
Steven berkata, keputusan hari ini cukup baik kerana mereka terjejas akan ditempatkan semula untuk meneruskan penghidupan sebagai nelayan.
“Persetujuan itu membenarkan mereka meneruskan cara hidup unik di kawasan penempatan baharu,” katanya.
Peguam K Mohan, S Yogeswaran, Aaron Mathews, David Ng, Shahrul Azwan dan Ananthan Moorthi juga mewakili komuniti berkenaan.