
Dalam wawancara bersama FMT, beliau berkata perjanjian yang akan datang — secara rasminya menerusi pengisytiharan bersama — mencerminkan komitmen kedua-dua negara menyelesaikan ketegangan melalui dialog dan kerjasama dua hala.
Dengan jangkaan perjanjian akan ditandatangani pada Sidang Kemuncak Asean ke-47, pengisytiharan bersama itu menggariskan langkah meredakan ketegangan sempadan, pembersihan periuk api, dan tindakan bersama menentang jenayah rentas negara.
Thailand dan Kemboja mempunyai pertikaian berpanjangan terkait beberapa bahagian sempadan bersama sepanjang 817km yang belum dimuktamadkan.
Namun, ketegangan memuncak pada Julai lalu apabila tercetus pertempuran lima hari, yang berakhir selepas Malaysia menjadi orang tengah untuk mencapai gencatan senjata, pada 28 Julai.
“Asean mempunyai caranya tersendiri, iaitu cara Asean. Walaupun kita menjunjung prinsip tidak campur tangan, kita juga mengakui bahawa isu dalaman akan memberi kesan kepada seluruh rantau. Jadi, kita perlu mengaplikasikan prinsip itu dengan lebih anjal,” kata Sihasak.
Beliau berkata, Thailand dan Kemboja berkongsi pandangan bahawa pertikaian sempadan berpanjangan membayangi perpaduan Asean.
“Situasi (yang berlaku sebelum ini) antara Thailand dan Kemboja ini tidak memberi gambaran baik terhadap Asean.
“Kami berharap untuk mengatasi babak malang ini dan memulihkan semula hubungan supaya kami dapat menyumbang kepada solidariti Asean yang amat diperlukan sekarang mengambil kira kita sedang berdepan beberapa cabaran bersama,” katanya.
Sihasak memuji Malaysia, selaku pengerusi Asean kerana memudahkan rundingan antara Bangkok dan Phnom Penh, dan menyifatkan Amerika Syarikat (AS) juga memainkan peranan yang konstruktif.
“Kami sangat gembira Kemboja bersetuju untuk duduk berbincang. Sebelum ini, mereka lebih gemar membawa perkara itu ke forum antarabangsa. Namun, kami sentiasa berpendirian bahawa kita harus menyelesaikannya secara dua hala,” katanya.
Bagaimanapun, Sihasak mengingatkan ujian sebenar selepas perjanjian itu ditandatangani.
“Ini bukan perjanjian damai. Kedamaian akan wujud selepas kita melaksanakan apa terkandung dalam perisytiharan itu. Sekiranya kita mahukan perdamaian yang sebenar dan bukan sekadar dokumen, maka kita perlu melaksanakan apa yang telah kita persetujui.”