
Hakim S Nantha Balan ketika membacakan keputusan sebulat suara tiga panel hakim, berkata adalah ‘imperatif dan mandatori’ bagi tuntutan ganti rugi teruk dinyatakan secara jelas dan diperincikan dengan betul dalam pernyataan tuntutan.
Beliau menegaskan bahawa pernyataan tuntutan mesti menyatakan fakta dan keadaan yang menunjukkan kecederaan terhadap maruah, perasaan atau harga diri plaintif.
“Kecederaan terhadap maruah, perasaan atau harga diri itu hendaklah berlaku serentak dengan berlakunya tort tersebut.
“Peristiwa yang terjadi selepas berlakunya tort, termasuk tindakan sebelum litigasi atau semasa litigasi, tidak boleh dianggap sebagai keadaan yang memburukkan,” katanya ketika membenarkan rayuan Hospital Bukit Tinggi.
Nantha Balan menjelaskan bahawa waris seseorang yang telah meninggal dunia boleh menuntut ganti rugi teruk, namun hanya bagi kejadian yang berlaku sebelum kematian.
Bagaimanapun, kata beliau, tuntutan itu hanya boleh dibuat jika si mati masih sedar dan mampu merasai atau sedari ketika itu tindakan yang dilakukan oleh pihak yang menyebabkan tort.
Dalam kes ini, Nantha Balan berkata waris si mati tidak mempunyai kedudukan untuk menuntut ganti rugi teruk kerana peristiwa dan kelakuan yang dijadikan asas tuntutan berlaku selepas kematian wanita itu.
Hakim itu juga memberi amaran agar tidak mengelirukan antara perbuatan cuai dan kelakuan memburukkan, walaupun kedua-duanya berlaku pada masa yang sama.
Nantha Balan, yang bersara pada Khamis selepas 13 tahun berkhidmat, turut menegaskan bahawa cara seseorang defendan mengendalikan pembelaan atau strategi litigasinya tidak boleh dijadikan asas untuk ganti rugi teruk.
“Sebaliknya, kelakuan penyalahgunaan seperti itu perlu ditangani dalam ruang lingkup Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan bidang kuasa asal mahkamah,” katanya dalam penghakiman setebal 80 muka surat yang dikeluarkan awal bulan ini.
Si mati, Suman Rampal, 41, dimasukkan ke hospital itu pada 13 Mei 2019 kerana sakit perut yang teruk dan diperiksa oleh seorang doktor yang mendiagnosisnya dengan jangkitan saluran kencing dan berulangnya sindrom nefrotik.
Beliau dibenarkan pulang, namun kembali dalam keadaan kritikal dan meninggal dunia keesokan harinya akibat kejutan septik fulminan dengan kegagalan buah pinggang akut.
Waris Suman memfailkan tindakan kecuaian perubatan terhadap hospital dan doktor yang merawat mendiang, mendakwa kegagalan mendiagnosis dan merawat keadaannya dengan betul.
Mahkamah Tinggi sebelum ini mendapati kedua-dua defendan bertanggungjawab dan menganugerahkan kira-kira RM1.08 juta dalam bentuk ganti rugi, termasuk RM700,000 bagi ganti rugi teruk, RM176,280 bagi kehilangan sokongan kewangan, dan RM100,000 bagi kesakitan dan penderitaan.
Defendan merayu, manakala plaintif, K Navin Sharma dan H Saroop Rampal, memfailkan rayuan balas untuk mendapatkan jumlah ganti rugi yang lebih tinggi.
Panel yang turut dianggotai Hakim Azimah Omar dan Hakim Ahmad Kamal Shahid turut membatalkan ganti rugi bagi kehilangan sokongan kewangan dengan alasan tiada bukti menunjukkan si mati menyumbang kepada perbelanjaan keluarga.
Sebaliknya, Nantha Balan berkata, bukti menunjukkan bahawa sokongan kewangan disediakan oleh suami si mati.
Katanya, bagi tuntutan seumpama itu, mestilah terdapat kerugian sebenar, sambil menambah bahawa wang simpanan atau yang disimpan tidak boleh diambil kira dalam pengiraan kehilangan sokongan kewangan..
Nantha Balan juga menggesa mahkamah peringkat perbicaraan supaya berwaspada dalam mengesan tuntutan berlebihan bagi kehilangan sokongan kewangan, dengan menegaskan bahawa pampasan mestilah berdasarkan bukti, bukan simpati.
Panel itu turut mengurangkan ganti rugi bagi kesakitan dan penderitaan daripada RM100,000 kepada RM50,000.
Nantha Balan menyatakan bahawa pesakit meninggal dunia selepas berada di hospital kira-kira 24 jam.
Dengan pembatalan ganti rugi teruk dan kehilangan sokongan kewangan, jumlah keseluruhan ganti rugi yang perlu dibayar dikurangkan kepada kira-kira RM200,000.
Peguam Amos Siew dan Nicole Bor mewakili hospital, manakala Manmohan Singh Dhillon, Karthi Kanthabalan dan Navpreet Kaur bertindak bagi pihak waris dan tanggungan si mati.