
Pemangku Ketua Polis Selangor S Sasikala Devi berkata, siasatan mendapati bahan letupan terbabit dihasilkan oleh suspek berusia 33 tahun itu, seorang kontraktor pembinaan, berdasarkan pelbagai barangan dirampas dalam serbuan di kediamannya di Serdang, Kedah.
Antara barangan dan peralatan yang dijumpai polis di rumah suspek, dipercayai digunakan untuk menghasilkan bahan letupan, termasuk bilah mata pisau pemotong kertas dan mercun bola.
“Suspek juga berminat menghasilkan bahan letupan, selain mempelajari cara pembuatannya dengan merujuk kepada video dalam talian.
“Buat masa ini, siasatan mendapati motif kejadian ini bersifat peribadi dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya, menurut Berita Harian.
Pada 29 Dis tahun lepas, seorang pekerja restoran berusia 28 tahun terbunuh apabila bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup.
Mangsa yang cedera parah pada badan dan tangan dikejarkan ke Hospital Ampang, namun disahkan meninggal dunia pada 9.45 malam.
Polis turut menjumpai serpihan bahan letupan di tempat kejadian, serta kesan kemik pada kereta mangsa.
Siasatan lanjut oleh polis kemudian membawa kepada penahanan sepasang suami isteri, masing-masing berusia 33 dan 30 tahun di Serdang, Kedah pada Selasa lepas, sebelum mereka direman selama tujuh hari
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.