
Setiausaha PDRM, Noorsiah Saaduddin, berkata semakan mendapati tiada sebarang laporan polis diterima mengenai modus operandi penipuan sedemikian.
“Orang ramai diminta tidak mudah percaya dengan sebaran mesej tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya. Tindakan berkongsi atau menyebar berita sedemikian boleh menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Modus operandi jenayah peras ugut berkenaan menjadi tular di laman sosial dan dilaporkan warga asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mereka yang berada di stesen LRT sering menjadi mangsa.
Penjenayah didakwa akan menyelinapkan telefon bimbit atau dompet ke dalam poket atau bagasi mangsa sebelum mendekati dan menuduh mereka sebagai pencuri.
Mangsa seterusnya akan didesak membayar sejumlah wang dengan alasan untuk menyelesaikan kes. Sekiranya tidak bersetuju, mangsa diugut bahawa kejadian “curi” akan dilaporkan kepada polis.