‘Kami maafkan dia, harap tak kena tindakan’, kata bapa pelajar ditampar jurulatih

‘Kami maafkan dia, harap tak kena tindakan’, kata bapa pelajar ditampar jurulatih

Bapa pelajar itu menganggap tindakan jurulatih terbabit menampar anaknya tidak keterlaluan dan tidak meninggalkan sebarang kesan psikologi ke atas anaknya.

Bapa salah seorang pelajar itu melihat tindakan jurulatih terbabit menampar anaknya sebagai pembakar semangat untuk beraksi lebih baik dalam perlawanan dan bukan bertujuan mencederakannya.
PETALING JAYA:
Bapa kepada salah seorang pelajar yang ditampar jurulatih dalam kejohanan bola tampar di Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini memaafkan perbuatan lelaki itu dan berharap dia tidak dikenakan sebarang tindakan.

Meskipun kejadian itu mendapat perhatian warganet yang mengecamnya, namun beliau menganggap tindakan itu tidak keterlaluan dan tidak meninggalkan sebarang kesan psikologi ke atas anaknya.

Sebaliknya, beliau melihat kelakuan jurulatih itu sebagai pembakar semangat untuk anaknya beraksi lebih baik dalam perlawanan itu dan tindakannya bukan bertujuan mencederakannya.

“Sehubungan itu, saya mohon Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mengambil tindakan, memandangkan kami telah memaafkan guru sukan (jurulatih) itu.

“Untuk warganet pula, kami minta hentikan semua kecaman kerana saya pun tidak anggap ia serius dan tiada kecederaan,” katanya dipetik Bernama ketika ditemui di Kampung Melekek, Alor Gajah.

Beliau juga tidak menyangka kejadian itu tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) yang bertindak menggantung jurulatih berkenaan.

Beliau memaklumkan keluarganya mengenali lelaki itu lebih lima tahun dan berharap dia dikekalkan berdasarkan kemampuan serta dedikasi jurulatih berkenaan dalam melatih pasukan anaknya.

“Kami harap pihak terlibat memberi peluang kepadanya dengan mengambil kira jasa dan bakti yang dicurahkannya dalam sukan bola tampar. Saya percaya tindakannya tidak lebih seperti ‘mengejutkan orang dari tidur’ untuk naikkan semangat,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan status jurulatih itu yang digantung sementara oleh Mava, akan ditentukan esok selepas siasatan lanjut dilakukan.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, VP Shanmugam berkata, hal itu perlu memandangkan jurulatih yang dilantik untuk membawa pasukan itu di bawah kuasa Persatuan Bola Tampar Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.