
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, berkata antara kegusaran pendedahan kanak-kanak terhadap platform itu dikaitkan dengan pelbagai kandungan tidak sesuai termasuk unsur toksik, manipulasi maklumat, eksploitasi seksual dan pengaruh negatif.
“Pendedahan awal kepada maklumat orang dewasa kini boleh diakses oleh kanak-kanak tanpa tapisan sekali gus menimbulkan salah faham tentang perkara yang belum sesuai dengan usia mereka terutama apabila pengawasan ibu bapa masih lemah,” katanya pada sesi rakaman program bual bicara ‘Jendela Fikir’ di Wisma Bernama, hari ini.
Siraj berkata, masih ramai ibu bapa yang tidak mendapat pendidikan formal berhubung penggunaan internet seterusnya mewujudkan jurang dalam kawalan digital di rumah.
“Kita tidak boleh meneruskan kejahilan ini kepada generasi seterusnya. Anak-anak perlu ada panduan dan pendidikan digital yang jelas.
“Hari ini, kandungan di telefon pintar tidak sepenuhnya diselia seperti televisyen dahulu, maka peranan ibu bapa menjadi lebih kritikal,” katanya.
Mengulas pelaksanaan sekatan akses akaun media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun, beliau berkata langkah itu adalah perlindungan penting khususnya dalam menghadapi ancaman digital, selaras dapatan kajian global yang menunjukkan tempoh usia tersebut merupakan fasa kritikal perkembangan psikologi remaja.
“Ini bukan soal menyekat, tetapi melindungi. Internet hari ini bukan lagi ruang yang sepenuhnya selamat. Ia juga menjadi ‘sarang’ kepada mereka yang ada kepentingan dan tidak bertanggungjawab.
“Peranan ibu bapa perlu ditingkatkan kerana selagi ibu bapa itu tidak ada sikap yang memerlukan tindakan segera, maka mereka kurang menyedari tahap ancaman yang wujud dan kepentingan untuk mengawal anak-anak mereka menggunakan platform media sosial,” katanya.
Pada sama sama, Siraj menyokong penggunaan sistem pengesahan identiti digital seperti MyDigitalID bagi membendung penyalahgunaan akaun palsu dan memastikan pematuhan had umur, namun mengakui cabaran utama ialah memastikan tiada penipuan semasa proses pendaftaran akaun media sosial.
Beliau turut mencadangkan Kementerian Pendidikan bertindak proaktif dengan menyediakan sukatan mata pelajaran wajib supaya pelajar bersedia menggunakan media sosial selepas umur 16 tahun dengan asas pendidikan digital yang kukuh agar tidak mudah dipengaruhi algoritma platform itu.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan melaksanakan sekatan akses akaun media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun sebagai langkah memperkukuh perlindungan dalam talian.
Fahmi berkata, sekatan akses itu dijangka dilaksanakan hujung Jun ini, tertakluk kepada penelitian akhir.