
Tertuduh, Wan Faddli Abd Saad, 30, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, Wan Faddli didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bayi itu dengan cara menampar dan menggigit mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira 4 pagi di sebuah rumah di Lorong Abdullah, Jalan AMJ, Semabok, di Melaka Tengah pada 6 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Difahamkan, laporan polis dibuat oleh isteri tertuduh selepas mendakwa kejadian berlaku apabila kaki bayi mereka terkena tertuduh ketika sedang tidur.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif manakala tertuduh diwakili peguam Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, Syaza mencadangkan jaminan RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh selain syarat tambahan supaya dia tidak mengganggu mangsa.
Bagaimanapun, Izzuddin memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai peniaga burger dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes.