Fokus beri insentif, akta baharu tak memadai depani negara tua

Fokus beri insentif, akta baharu tak memadai depani negara tua

Persatuan Penuaan Sihat Malaysia berkata walaupun Akta Penjagaan Ibu Bapa langkah proaktif memartabat tanggungjawab anak ia tak boleh bergantung aspek perundangan semata-mata.

senior
Malaysia beralih kepada masyarakat menua dengan mereka berusia 60 tahun ke atas dijangka membentuk kira-kira 15% daripada populasi menjelang 2030. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Cadangan mewujudkan Akta Penjagaan Ibu Bapa bagi menjamin kebajikan dan penjagaan warga emas belum memadai untuk menampung keperluan Malaysia yang akan mencapai status negara tua menjelang 2030.

Naib Presiden Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS), Dr Wong Teck Wee, berkata walaupun akta itu langkah proaktif dalam memartabatkan tanggungjawab anak-anak tetapi ia tidak boleh bergantung kepada aspek perundangan dan nafkah kewangan semata-mata.

Sebaliknya, beliau menggesa kerajaan lebih memfokuskan pemberian insentif misalnya pelepasan cukai lebih tinggi serta cuti khas untuk penjaga dan subsidi bagi pusat jagaan harian serta penjagaan di rumah, berbanding hukuman bagi memudahkan urusan penjagaan warga emas.

“Kita mahu membina budaya hormat dan kasih sayang. Anak-anak sepatutnya menjaga ibu bapa atas dasar kasih yang disokong oleh sistem negara, bukan kerana takut dipenjarakan atau didenda.

Dr Wong Teck Wee.
Dr Wong Teck Wee.

“Lagipun, warga emas pada tahun 2030 bukan sekadar memerlukan wang, tetapi sokongan penjagaan kesihatan yang kompleks bagi menguruskan penyakit kronik, ketidakupayaan dan demensia,” katanya kepada FMT.

Wong turut mencadangkan Malaysia mewujudkan sistem insurans penjagaan hari tua yang lebih komprehensif, menyamai model ‘CareShield Life’ di Singapura atau insurans penjagaan jangka panjang di Jepun.

Katanya, sistem insurans sosial akan memastikan setiap warga emas mempunyai dana khusus untuk kos penjagaan profesional tanpa membebankan waris sepenuhnya.

Beliau turut memberi amaran mengenai tekanan dihadapi ‘generasi sandwic’ — golongan yang perlu menyara anak-anak yang masih belajar dan pada masa sama menjaga ibu bapa uzur.

“Jika akta ini dilaksanakan secara punitif tanpa sokongan ekosistem lain, ia berisiko mencetuskan tekanan mental dan konflik dalam institusi kekeluargaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Wong berkata model Singapura di mana ‘Maintenance of Parents Act’ hanya berfungsi sebagai ‘jaring keselamatan terakhir’ dengan mengutamakan proses mediasi bagi mengelakkan keretakan hubungan kekeluargaan.

Menurutnya, walaupun undang-undang itu berjaya menjamin bantuan kewangan kepada ibu bapa yang diabaikan, ia jarang digunakan di republik berkenaan kerana penekanan terhadap penyelesaian secara harmoni.

Pada 7 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diminta menyediakan rang undang-undang berkenaan dalam tempoh enam bulan.

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, usaha menggubal akta baharu itu penting memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat menua, sekali gus memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dalam aspek kebajikan dan penjagaan warga emas.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, negara ini sudah beralih kepada masyarakat menua dengan mereka berusia 60 tahun ke atas dijangka membentuk kira-kira 15% daripada populasi menjelang 2030.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.