Calon PSB fail petisyen bantah keputusan Parlimen Lubok Antu

Calon PSB fail petisyen bantah keputusan Parlimen Lubok Antu

Johnichal Rayong Ngipa yang kalah dengan majoriti 100 undi mendakwa pegawai pengurus pilihan raya enggan membuat kiraan semula.

Johnical Rayong Ngipa yang juga ADUN Engkilili memfailkan petisyen bagi membantah keputusan PRU15 bagi Parlimen Lubok Antu di Mahkamah Tinggi Kuching. (Gambar Facebook)
KUCHING:
Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi Parlimen Lubok Antu, Johnical Rayong Ngipa yang kalah tipis pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan itu.

Petisyen itu difailkan firma guaman yang mewakili Rayong di Mahkamah Tinggi di sini, petang tadi.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, peguam Clement Wong berkata terdapat tiga alasan untuk mereka memfailkan petisyen tersebut, antaranya wujud rasuah am dan ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang bertulis di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kegagalan untuk melakukan kiraan semula (oleh pegawai pengurus pilihan raya) adalah terjumlah kepada ketidakpatuhan (terhadap peruntukan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya). Kami akan memberikan (butiran mengenai) alasan lain apabila tiba masanya.”

Pada 23 Nov lalu, Rayong memaklumkan sidang media di sini, permintaan beliau untuk kiraan semula ditolak pegawai pengurus pilihan raya tanpa sebarang alasan, sebaliknya mengisytiharkan Roy Angau Gingkoi daripada Gabungan Parti Sarawak sebagai pemenang dengan majoriti 100 undi.

Pada PRU15, Rayong yang juga ADUN Engkilili, berdepan pertandingan empat penjuru di Parlimen Lubok Antu dan meraih 6,544 undi, manakala Roy Angau mendapat 6,644 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di kawasan itu ialah Jugah Muyang daripada Perikatan Nasional-Bersatu yang mendapat 5,360 undi dan Langga Lias (Pakatan Harapan-PKR) dengan 746 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.