
Polis Pulau Pinang menerusi kenyataan di Facebook berkata, operasi bersepadu melibatkan pihaknya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu bermula 9 malam tadi hingga 2 pagi ini.
“Operasi dijalankan sempena sambutan ambang tahun baharu dan polis menyita 17 motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, di samping mengeluarkan 187 saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan JPJ mengeluarkan 150 saman kerana pelbagai kesalahan manakala JAS pula mengeluarkan notis bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (ujian bunyi) terhadap 10 kenderaan.
Operasi diketuai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang, Zafri Zolkapli dan ia akan diteruskan hingga awal pagi esok dalam usaha membendung samseng jalanan dan kegiatan lumba haram.