
IWK menyediakan perkhidmatan menyelenggara dan menguruskan sistem kumbahan awam di seluruh negara sejak 1 April 1994. Pada 2021, syarikat itu diberi lanjutan perjanjian konsesi oleh kerajaan selama 12 tahun lagi, sehingga 31 Dis 2034.
Tambahan perjanjian itu termasuk pelaksanaan aktiviti perniagaan bukan tarif. Ini bermakna IWK boleh melaksanakan perniagaan bukan teras dan inisiatif hijau sebagai tambahan kepada aliran pendapatan utama dan menjana penjimatan kos.
Ketika pembentangan di Persidangan Khas Air Malaysia 2020 dan Pameran Kualiti Air dan Rawatan, Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam berkata, dalam usaha mengekalkan IWK ke arah mencapai sasarannya dalam ekonomi kitaran, syarikat itu mencari jalan untuk menjadi sumber air kedua negara.
Narendran berkata, bioefluen terawat oleh IWK boleh menjadi air alternatif untuk kegunaan air tidak boleh minum yang seterusnya membebaskan sumber air mentah untuk kegunaan air boleh minum.
Salah satu usaha termasuklah kerjasama dengan syarikat pembekal air Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd untuk secara bersama menguruskan air buangan yang dilepaskan dari loji rawatan kumbahan IWK.
Ia membabitkan air buangan yang dirawat oleh loji rawatan kumbahan IWK yang kemudian melalui satu proses tambahan bagi membolehkan ia digunakan semula untuk kegunaan air tidak boleh minum oleh sektor industri.

Tambah Narendran, bioefluen terawat boleh menjadi tambahan penggunaan air harian oleh industri dan perniagaan komersial. Ia adalah produk asas untuk hampir semua tingkat amalan pengeluaran dan pembuatan di seluruh dunia, sama ada ia digunakan untuk menghasil, memproses, mencuci, mencairkan atau menyejukkan dan pelbagai lagi.
Seawal 2015, IWK mengambil langkah memulakan projek berskala kecil dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengguna semula efluen bagi menyiram tanaman. Ini menunjukkan komitmen berterusan IWK dalam kelestarian dan usaha melindungi alam sekitar dan sumber air bersih.
Sebagai tambahan terhadap usaha itu, IWK juga memulakan merawat efluen perindustrian yang dilepaskan oleh industri makanan dan minuman.
Dengan penerimaan proses biologi dan direka dengan fleksibiliti, sebahagian loji rawatan kumbahan diuruskan IWK mempunyai potensi untuk menerima dan merawat tambahan air buangan dari industri yang mempunyai karakter sama seperti kumbahan domestik.
Ini bermakna, industri makanan dan minuman serta industri yang mengeluarkan buangan terbiodegradasi boleh menjimatkan kos pelaburan menguruskan loji rawatan air buangan industri dan menyerahkan kepada pakar untuk merawat efluen perindustrian.
Dengan menyalurkan efluen perindustrian kepada loji rawatan yang dijalankan IWK untuk dirawat, ia akan memberi manfaat besar kepada alam sekitar.
Ia akan mengurangkan titik sumber pencemaran, memastikan buangan yang dihasilkan dirawat dengan baik dan efektif sebelum dilepaskan kembali ke sumber air.

Sementara itu, IWK juga meluaskan usaha dalam inisiatif teknologi hijau yang akan menguruskan biopepejal yang dihasilkan di loji rawatan kumbahannya seperti pengeluaran Larva Lalat Askar Hitam (Larvae Black Soldier Fly).
Biopepejal yang dirawat boleh digunakan semula sebagai makanan kepada Larva Lalat Askar Hitam untuk menghasilkan makanan protein penuh lemak dan mengurangkan pelupusan biopepejal di tapak timbus tanah.
Biopepejal adalah produk pejal utama organik dihasilkan daripada proses rawatan air buangan. Larva Lalat Askar Hitam yang dibesarkan dalam stok suapan biopepejal ini yang dicampur dengan buangan organik lain sebelum dituai untuk menghasilkan makan protein penuh lemak, makanan utama untuk untuk industri akuakultur terutama penternakan ikan.
Loji rawatan kumbahan IWK di Lembah Klang menghasilkan kira-kira 200 tan biopepejal sehari dan ia ketika ini dilupuskan dengan ditanam di dalam tanah, jadi usaha ini bermakna mengurangkan biopepejal ditanam di dalam tanah dan juga mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau.
Satu lagi inisiatif yang diteroka oleh IWK ialah pemasangan sistem solar fotovoltan (PV). Setakat ini, IWK mengenal pasti 900 tapak loji untuk memasang panel solar ini di bumbung dan di atas struktur tangki.
Ini secara tak langsung membantu IWK menjimatkan RM20 juta kos operasi dalam tempoh 25 tahun akan datang dengan potensi mengurangkan 26,372 tan metrik pelepasan Gas Rumah Hijau CO2.
Sebagai tambahan, IWK juga menerima Anugerah Projek Tenaga Boleh Diperbaharui ASEAN, “Guna Semula Biogas daripada Enap Cemar Kumbahan untuk Menjana Tenaga Boleh Diperbaharui” oleh Anugerah Tenaga ASEAN 2020 untuk inisiatif IWK dalam menghasilkan biogas.
Biogas salah satu sumber untuk tenaga boleh diperbaharui untuk menjana elektrik, dihasilkan di loji rawatan kumbahan IWK menerusi sistem “Anaerobic Digester” atau cernaan anaerobik. Ketika ini terdapat lima loji rawatan yang berkemampuan menjana elektrik 5MWh/sehari.
Dengan kelestarian menjadi nadi operasi IWK, syarikat itu terus mencari cara baharu untuk menguruskan proses dan menghasilkan produk dengan kaedah mesra alam sekitar, dan pada masa sama menyumbang kepada ekonomi kitaran.