PH perlu ambil pengajaran PRN Sabah, kata pemimpin DAP

PH perlu ambil pengajaran PRN Sabah, kata pemimpin DAP

Syahredzan Johan berkata PH ada masa betulkan keadaan bagi memastikan nasib sama tidak berulang pada pilihan raya akan datang.

Syahredzan Johan
Naib Pengerusi DAP Syahredzan Johan berkata pemimpin Pakatan Harapan perlu ambil pengajaran daripada faktor menyebabkan kekalahan parti itu di Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu belajar daripada kekalahan di PRN Sabah baru-baru ini dan mengambil langkah untuk membetulkan keadaan bagi memastikan gabungan itu tidak menerima nasib sama pada pilihan raya akan datang.

Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan, berkata kekalahan parti itu di semua lapan kerusi ditandingi adalah isyarat jelas terdapatnya krisis keyakinan terhadap DAP dan Pakatan Harapan.

“Dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) semalam, kami telah meneliti dan menilai apa yang berlaku. Sudah tentu ada pelbagai faktor kekalahan, tetapi yang penting adalah apakah pengajaran yang kita ambil daripada faktor tersebut.

“Saya fikir adalah penting untuk kita bertindak memperbetulkan keadaan. Kita masih ada masa, dan kita harus berlapang dada untuk mengambil ‘corrective measures’ untuk memastikan sokongan di tempat lain kekal dengan PH,” katanya kepada FMT.

Pada PRN Sabah 29 Nov lalu, PH hanya menang satu kerusi iaitu di Melalap, daripada 22 kerusi ditandingi. DAP kalah di semua lapan kerusi ditandinginya, manakala PKR kehilangan dua kerusi tradisi iaitu Api-Api dan Inanam.

Terdahulu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan Azmi Hassan dari Akademik Nusantara berpendapat, kekalahan PH di Sabah kerana penyokong yang tidak berpuas hati memilih Warisan atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggap sebagai alternatif kepada PH.

Berbeza pula di Semenanjung, kata Syaza dan Azmi, penyokong PH tiada alternatif, menyebabkan mereka akan terus menyokong atau tidak keluar mengundi pada PRU akan datang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Izuan Kasim, tidak bersetuju dengan pandangan tersebut kerana penyokong PH di Semenanjung terutama masyarakat Cina, sebelum ini pernah mengundi PAS ketika era Pakatan Rakyat.

Katanya, untuk PH terus menjadi pilihan rakyat, gabungan itu perlu menonjol sebagai parti yang membela rakyat dan pada masa sama menjadi semak serta imbang kepada kerajaan.

“Isu kos sara hidup dan pekerjaan sentiasa menjadi tumpuan dan akan menjadi isu utama sebelum pengundi membuat keputusan di peti undi.

“Setiap negeri ada sentimen sendiri dan perlu ditangani oleh pimpinan negeri, tidak hanya berharap kepada pimpinan pusat,” katanya.

Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda, pula berkata kekalahan PH di Sabah bukan disebabkan rakyat negeri itu mempunyai banyak alternatif, sebaliknya ia disebabkan sentimen kenegerian yang dimainkan.

“Faktor utama penolakan adalah sentimen kenegerian dimainkan terlalu teruk dan melampau. Ada banyak parti di Semenanjung. Tak timbul soal tak ada alternatif. Warisan juga bertanding di Semenanjung dalam PRN Johor dan PRU15, tapi hilang deposit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.