Penemuan mayat tanpa identiti tiada kaitan dengan kehilangan Zalina, kata polis

Penemuan mayat tanpa identiti tiada kaitan dengan kehilangan Zalina, kata polis

Kehilangan bekas personaliti TV3 era 90-an, Zalina Shaharah Azman masih misteri dan polis juga tidak menemui petunjuk baharu.

Polis menerima laporan mengenai kehilangan Zalina Shaharah Azman daripada keluarganya pada 29 Nov tahun lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kehilangan bekas personaliti TV3 era 90-an, Zalina Shaharah Azman sejak tahun lalu masih kekal misteri dan siasatan polis juga belum menemui sebarang petunjuk baru.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kes penemuan mayat tanpa identiti di seluruh negara setakat ini juga tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan Zalina, 58, lapor Utusan Malaysia.

Katanya, pihaknya menjalinkan kerjasama rapat dengan semua kontinjen negeri bagi mengenal pasti identiti mayat yang ditemukan.

Menurutnya, penelitian itu turut melibatkan DNA keluarga Zalina oleh Jabatan Kimia yang diperoleh polis sebelum ini.

“Selain Selangor dan Kuala Lumpur, ia turut meliputi kes penemuan mayat di negeri-negeri lain.

“Namun, pemeriksaan kita sehingga kini mendapati semua mayat itu tidak mempunyai kaitan atau hubung kait dengan Zalina,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

Tambahnya, pihaknya juga belum menemui sebarang petunjuk baharu mengenai kehilangan wanita berkenaan.

“Siasatan bagaimanapun masih tetap diteruskan dan diklasifikasikan sebagai kes orang hilang. Sebarang maklumat baharu kes itu yang diperoleh akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan kepada pihaknya bagi membantu siasatan.

Zalina atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman dilaporkan hilang sejak tahun lalu.

Pihak polis menerima laporan daripada keluarga Zalina berhubung kehilangannya pada 29 Nov tahun lalu.

Pada 6 Sept lalu, media melaporkan pemeriksaan polis di rumah Zalina di Seksyen 3 Shah Alam, tidak menemui petunjuk baharu kes kehilangan wanita itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.