Sila ke tempat lain, KM Melaka beri amaran ketua jabatan ‘tak cemerlang’

Sila ke tempat lain, KM Melaka beri amaran ketua jabatan ‘tak cemerlang’

Sulaiman Md Ali mendedahkan ada ketua jabatan tidak hadir mesyuarat, tidak menjawab telefon dan mesej hingga masalah rakyat sukar diselesaikan.

Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali ketika menggulung perbahasan Bajet 2023 pada persidangan DUN Melaka di sini hari ini. (Gambar Facebook)
MELAKA:
Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali memberi amaran tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana ketua jabatan atau pegawai agensi negeri yang gagal menunjukkan prestasi terbaik dalam tugasan mereka.

Beliau berkata, masalah prestasi itu secara tidak langsung memberi kesan kepada usaha ADUN menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya sebut dalam dewan ini, saya beri amaran, jika tidak mahu bekerja di Melaka, dipersilakan (ke tempat lain).

“Jangan susahkan wakil rakyat yang cuba menyelesaikan masalah rakyat, termasuklah tidak menjawab telefon atau mesej,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Sulaiman berkata, antara masalah lain dikenal pasti ialah ketua jabatan gagal menghadiri mesyuarat atau sekadar menghantar wakil dalam urusan berkaitan penyelesaian masalah rakyat.

“Saya turut kesan masalah ini di pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) saya sendiri…pegawai yang diamanahkan tidak datang mesyuarat, malah minit mesyuarat pun tidak ada dalam tangan sebab asyik hantar wakil yang bertukar-tukar.

“Ini semua memberi masalah kepada wakil rakyat dan akhirnya tidak dapat membuat keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, 26 ADUN menyokong usul perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2023 yang dibentangkan Isnin lepas.

Dua ADUN tidak hadir iaitu Datuk Muhamad Jailani Khamis (BN-Rembia) dan Siti Faizah Abd Azis (BN- Sungai Rambai) pada persidangan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.