PRN Johor: PN tanding semua DUN tapi terbuka rundingan

PRN Johor: PN tanding semua DUN tapi terbuka rundingan

Timbalan Pengerusi Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PN terbuka rundingan dengan parti lain bagi elak pertembungan kerusi sesama blok pembangkang.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PN juga sedia berdepan PH dan BN di negeri lain.
KUALA LUMPUR:
Selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menyatakan bertanding semua kerusi, Perikatan Nasional (PN) juga akan meletakkan calon di 56 DUN pada PRN Johor akan datang.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi PN, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata gabungan itu terbuka mengadakan rundingan dengan parti lain bagi mengelakkan pertembungan kerusi sesama blok pembangkang.

“PN juga sedia tanding semua kerusi tapi kita mungkin terbuka membuat perundingan dengan beberapa parti lain supaya pembangkang tidak bertembung,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat PAS selepas pelancaran Sekretariat Malaysia-Aid4Iran.

Tuan Ibrahim berkata, PN juga sedia berdepan PH dan BN bukan sahaja pada PRN Johor malah di negeri lain.

Pada PRN Johor 2022, PN bertanding di 56 DUN namun hanya menang tiga kerusi.

Sebelum ini, pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan gabungan itu akan bertanding semua 56 kerusi pada PRN.

Susulan itu, Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, menegaskan bukan sahaja di Johor, gabungan itu juga akan bertanding semua kawasan pada PRN mahupun PRU.

Namun, presiden PKR berkata, masih ada ruang perbincangan sebelum keputusan muktamad dibuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.