
Laporan dibuat biro mobilisasi PH dengan salah satunya melibatkan kiasan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengenai pengadil bola sepak memberikan “masa tambahan kepada pihak yang kalah” selepas perlawanan tamat.
Komen yang ditulis Hadi itu dipetik daripada akhbar rasmi PAS, Harakah yang merujuk kepada pembentukan kerajaan perpaduan dan menimbulkan kemarahan di Twitter.
PH mendakwa kenyataan berkenaan merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dan kenyataan Hadi itu sama dengan pengkhianatan.
Laporan kedua membabitkan beberapa kenyataan yang mendakwa Anwar disokong oleh Israel untuk menjadi perdana menteri, termasuk disiarkan di media sosial yang dikongsi oleh laman bernama “Perikatan Nasional for Malaysia”.
Laporan ketiga melibatkan rakaman audio yang tersebar, kononnya pemimpin PAS Nik Zawawi Salleh mendakwa kerajaan baharu pimpinan Anwar tidak akan bertahan lama.
Individu dalam rakaman itu mendakwa akan ada “strategi tertentu” untuk memastikan Perikatan Nasional kembali menerajui semula kerajaan persekutuan.
Laporan keempat pula menggesa polis menyiasat kemungkinan berlaku ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan bernilai lebih RM600 bilion semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat bagaimana kerajaan Muhyiddin membelanjakan dananya.
“Jika ada RCI untuk menyiasat perbelanjaan itu, kita akan tahu ke mana wang itu pergi,” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Ketika kempen pilihan raya baru-baru ini, Muhyiddin mengulangi bahawa tiada satu sen daripada RM500 bilion rangsangan dan bantuan dibelanjakan kerajaannya semasa pandemik Covid-19 disalahgunakan.
Ketua PH Melaka Adly Zahari berkata, gabungan itu akan menyiasat jika terdapat sebarang rasuah dalam pentadbiran Muhyiddin ketika membelanjakan dana kerajaan semasa wabak itu, jika menang pilihan raya.