Hamzah dipanggil lembaga disiplin cetus ura-ura pembersihan dalaman

Hamzah dipanggil lembaga disiplin cetus ura-ura pembersihan dalaman

Keberanian bertindak akan mengukuhkan kepimpinan Muhyiddin Yassin dan menutup ruang perpecahan, kata penganalisis.

Hamzah Zainudin
Presiden Muhyiddin Yassin dikatakan mahu mengukuhkan autoriti beliau apabila lembaga disiplin memanggil Timbalan Presiden Hamzah Zainudin menghadap.
PETALING JAYA:
Tindakan lembaga disiplin Bersatu memanggil Timbalan Presiden Hamzah Zainudin berhubung serangan terhadap Presiden Muhyiddin Yassin, antara lain, menyuntik ura-ura tentang pembersihan dalaman.

Penganalisis dihubungi FMT mengikuti rapat perkembangan itu, khususnya bagaimana Bersatu akan menangani Hamzah sekiranya dakwaan didapati benar, di kala Bersatu dikatakan meretak lantaran ketidakpuasan hati terhadap Muhyiddin.

“Keberanian bertindak menentukan sama ada Bersatu kekal berdisiplin atau runtuh sebagai parti rapuh,” menurut seorang penganalisis, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

Zaharuddin berkata tindakan akan menghantar mesej jelas bahawa tiada siapa kebal, sekaligus mengukuhkan kepimpinan Muhyiddin dan menutup ruang perpecahan.

“Persoalan utama: adakah Bersatu berani bertindak terhadap Hamzah?” soalnya.

Media semalam melaporkan Hamzah dipanggil menghadap lembaga disiplin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan perhimpunan agung tahunan, dan serangan terhadap Muhyiddin.

Kelmarin, empat ketua bahagian dipanggil menghadap mengenai tingkah laku yang dianggap menjejaskan perpaduan dan disiplin parti, antaranya Ahmad Nasir Mid (Selayang) yang berdepan dua aduan termasuk menyokong secara terang-terangan Hamzah dan mendesak Muhyiddin meletak jawatan presiden.

Pada hari sama, Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin, dan ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norsahar, kerana mengkritik Muhyiddin susulan kekalahan PRN Sabah. Yunus dipetik dalam laporan media bertindak mendesak peletakan jawatan Muhyiddin.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia percaya Muhyiddin mahu menegaskan autoriti beliau. “Saya tak rasa dia (Muhyiddin) akan lakukan semua ini kalau tidak yakin dengan kedudukan dia dalam parti,” katanya.

Beliau bagaimanapun meragui Bersatu akan bertindak terhadap Hamzah sekiranya dakwaan didapati benar.

“Saya tak rasa mereka berani nak pecat Hamzah, dah lah dia sebagai ketua pembangkang, apatah lagi memandangkan kedudukan Bersatu yang masih rapuh.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.