
Saifuddin berkata kumpulan itu berselindung di sebalik Lembaga Disiplin yang didakwa bersikap drakonian.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu mempersoalkan sama ada notis lembaga terbabit kepada Hamzah Zainudin hari ini bertujuan ‘membunuh’ secara perlahan timbalan presiden Bersatu berkenaan.
Jelasnya, tuduhan dikemukakan hampir sama dengan naratif digunakan terhadap beberapa pemimpin sebelum ini termasuk dirinya yang telah dipecat awal bulan lalu.
“Persoalannya adakah Lembaga Disiplin menjalankan tanggungjawabnya sebagai badan disiplin atau senjata mengawal kebimbangan dan perbezaan pandangan yang munasabah dalam parti?
“Lebih mengundang tanda tanya, notis ini muncul pada saat tumpuan rakyat, khususnya orang Melayu, sedang terarah kepada isu-isu besar negara dan kelemahan kerajaan sedia ada,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga mempersoalkan sama ada tindakan terbabit sebagai percubaan untuk menakutkan mereka yang berbeza pandangan dengan Muhyiddin.
“Sebenarnya mereka (berlindung di sebalik tindakan Lembaga Disiplin yang drakonian itu) yang sedang menyebabkan Bersatu reput,” katanya yang turut menegaskan perbezaan pendapat sebahagian proses perkukuh parti.
Ia termasuk gesaan Muhyddin berundur kerana telah hilang kemampuan dari segi ilmu, kemahiran dan adab kepimpinan.
Terdahulu, FMT melaporkan Hamzah yang juga ketua pembangkang dipanggil Lembaga Disiplin untuk siasatan dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) dan serangan terhadap Muhyiddin.
Ahli Parlimen Larut itu dipanggil untuk memberi keterangan pada 12 tengah hari, Khamis depan di Ibu Pejabat Bersatu.
Dalam surat itu, Lembaga Disiplin memaklumkan ia memandang serius aduan diterima termasuk dakwaan penglibatan Hamzah dalam perancangan untuk mengganggu dan mensabotaj perjalanan PAT, September lalu.
Hamzah juga didakwa gagal menghalang beberapa pemimpin dan ahli parti daripada mengeluarkan kenyataan menyerang Muhyiddin serta mencemarkan imej Bersatu.
Aduan lain termasuk gagal menghalang rundingan dengan presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) tanpa mandat parti, termasuk perbincangan berkaitan Majlis Eksekutif PN yang telah ditolak oleh Biro Politik dan (MPT) Bersatu.
Hamzah juga didakwa mencemarkan imej Muhyiddin kerana membuat kenyataan tidak dijemput ke pertemuan membabitkan presiden parti komponen PN pada 28 Jan lalu.
Penganalisis politik berpandangan timbalan pengerusi PN itu tidak akan melayan tuntutan supaya beliau meletak jawatan sebaliknya menunggu tindakan Bersatu.
Hamzah sebelum ini menafikan hubunganya dengan Muhyiddin tegang termasuk menolak dakwaan wujud dua kem dalam parti itu selain mendakwa cerita itu sengaja diadakan bagi mewujudkan perpecahan dalam Bersatu dan PN.