Utamakan penjawat awam kompeten untuk jawatan kerajaan, Cuepacs beritahu Anwar

Utamakan penjawat awam kompeten untuk jawatan kerajaan, Cuepacs beritahu Anwar

Presidennya Adnan Mat berkata campur tangan politik dalam urusan pelantikan juga harus dielakkan bagi membolehkan mereka yang dilantik kelak benar-benar membantu dan dapat memberi nasihat yang terbaik kepada Jemaah Menteri.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata, lantikan daripada luar sudah tentu menyebabkan pembangunan kerjaya dalam perkhidmatan awam akan lebih sempit. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim digesa supaya mengutamakan penjawat awam yang kompeten dan berkebolehan untuk mengisi jawatan utama dalam perkhidmatan awam berbanding lantikan politik.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata campur tangan politik dalam urusan pelantikan juga harus dielakkan bagi membolehkan mereka yang dilantik kelak benar-benar membantu dan dapat memberi nasihat yang terbaik kepada Jemaah Menteri.

“Unsur-unsur favouritism juga hendaklah dielakkan terutama dalam hal lantikan jawatan tertinggi kerana ia boleh menjejaskan operasi perkhidmatan awam sekiranya mereka yang dilantik itu tidak kompeten.

“Pegawai yang dilantik hanya disebabkan “kegemaran” ahli politik tertentu dibimbangi tidak boleh melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan terutama dalam memberi nasihat terbaik kepada menteri berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Adnan berkata, lantikan daripada luar sudah tentu menyebabkan pembangunan kerjaya dalam perkhidmatan awam akan lebih sempit.

Beliau berkata, Cuepacs tidak mempunyai masalah bagi lantikan politik yang mempunyai kelayakan tetapi bagi memastikan kelancaran sesuatu jabatan dapat diteruskan sekiranya terjadi peralihan kerajaan, adalah lebih baik lantikan yang dibuat dalam kalangan penjawat awam sahaja.

“Mereka yang dilantik berdasarkan politik akan meletak jawatan atau dipaksa melepaskan jawatan apabila suatu kerajaan itu berubah.

“Ini boleh menjejaskan perkhidmatan kerajaan dan menimbulkan persepsi kurang baik terhadap perkhidmatan kerajaan sedia ada,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.