Bukan hanya Anwar, Ismail pun tolak guna kereta rasmi baharu

Bukan hanya Anwar, Ismail pun tolak guna kereta rasmi baharu

Bekas pengarah bahagian komunikasi pejabat perdana menteri, Ruhaidini Abd Kadir berkata, Ismail pernah menolak untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan untuk beliau.

Ismail Sabri Yaakob juga terus tinggal di rumah peribadi dan memilih untuk tidak berpindah ke Seri Perdana, walaupun telah indah diubahsuai,’ kata bekas pengarah bahagian komunikasi pejabat perdana menteri, Ruhaidini Abd Kadir. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Keputusan Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim menolak menggunakan kenderaan rasmi baharu bukanlah perkara luar biasa kerana perkara yang sama pernah dilakukan oleh Ismail Sabri Yaakob.

Perkara itu didedahkan bekas pengarah bahagian komunikasi pejabat perdana menteri, Ruhaidini Abd Kadir yang memberitahu, bekas perdana menteri itu menolak untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan untuk beliau.

“Sepanjang bergelar perdana menteri, Ismail lebih selesa menggunakan kenderaan jenis MPV yang telah digunakan oleh pentadbiran terdahulu.

“Bahkan, Ismail Sabri juga enggan meluluskan permohonan untuk mengubahsuai pesawat khas (Perdana 1) bagi kegunaan rasmi perdana menteri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook bertajuk “Di Sebalik Nama Ismail Sabri”.

Menurutnya, Ismail juga terus tinggal di rumah peribadi dan memilih untuk tidak berpindah ke Seri Perdana, meskipun kediaman rasmi perdana menteri telah indah diubahsuai.

Anwar sebelum ini berkata tiada pembelian kereta rasmi baharu untuk kegunaannya dan sebarang ubah suai pejabatnya bagi mengelak pembaziran di bawah pentadbirannya.

Beliau juga dilaporkan menolak untuk menggunakan Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk kegunaan rasmi perdana menteri sebelum beliau memasuki pejabat.

“Langkah tersebut diambil kerana saya tidak mahukan sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atas saya,” katanya.

Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 pada Khamis lalu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional dan parti blok Borneo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.