
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah kanak-kanak itu meliputi 28.1% daripada 32.65 juta jumlah penduduk Malaysia.
Komposisi kanak-kanak di bawah umur lima tahun pula adalah 2.39 juta atau 26% daripada jumlah kanak-kanak di Malaysia dengan kanak-kanak lelaki 1.22 juta dan perempuan 1.17 juta.
Beliau berkata Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun pada 2022 dengan 41.6% daripada jumlah penduduk Putrajaya iaitu 0.12 juta, diikuti Kelantan (35.3%) dan Terengganu (34%) manakala Pulau Pinang mencatatkan peratusan terendah iaitu 23.4%.
“Bagaimanapun, Selangor merekodkan bilangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tertinggi di Malaysia iaitu 1.81 juta diikuti oleh Johor (1.12 juta) dan Sabah (1.06 juta) sementara bilangan paling rendah direkodkan di Labuan iaitu 0.03 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi pelalian, Uzir berkata empat liputan pelalian diberikan kepada bayi berumur kurang setahun mencatatkan penurunan pada 2021 iaitu Poliomyelitis (Polio), Diphtheria, Tetanus & Pertussis (DTP) dan Haemophilus Influenzae type B (HIB), masing-masing menurun 3.5% kepada 94.2% pada 2021 berbanding 97.7% pada 2020.
Manakala Hepatitis B menurun 8.2% kepada 93% pada 2021 berbanding 101.2% pada 2020 dan pelalian Bacillus Calmette-Guerin (BCG) pula kekal 98.8%.
Katanya, ‘certain conditions originating in the perinatal period’ kekal menjadi sebab utama kematian bagi kanak-kanak di bawah umur lima tahun pada 2021 iaitu 37% diikuti dengan gangguan kongenital, deformasi dan kelainan kromosom (29.9%), pneumonia (2.1%), jangkitan Covid-19 (1.5%) dan kemalangan kenderaan (1.1%).
Penemuan dalam bidang pendidikan pula menunjukkan kadar peralihan enrolmen bagi peringkat rendah ke menengah rendah meningkat 1.5 peratus kepada 90.9 peratus pada 2021 berbanding 89.4 peratus pada 2020.
Kadar peralihan enrolmen bagi peringkat menengah rendah ke menengah atas juga meningkat 1.4% kepada 99.3% dalam tempoh sama manakala kadar peralihan enrolmen peringkat menengah atas ke lepasan menengah mencatatkan penurunan 0.7% pada 2021 kepada 2.8% berbanding 3.5% pada tahun sebelumnya.
Mohd Uzir berkata daripada perspektif perlindungan kanak-kanak, bilangan mereka yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan meningkat 4.9% kepada 6,144 orang pada 2021 berbanding 5,858 orang pada 2020.