Speaker bincang dengan Anwar tarikh pembukaan Parlimen ke-15

Speaker bincang dengan Anwar tarikh pembukaan Parlimen ke-15

Azhar Azizan Harun menjangkakan persidangan pertama Parlimen selepas pembentukan kerajaan baharu diadakan pada bulan depan.

Satu sesi sidang khas Parlimen perlu diadakan bagi membentangkan belanjawan khas atau mini Bajet 2023 antaranya untuk membayar gaji penjawat awam sebelum 31 Dis. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai tarikh pembukaan persidangan Parlimen ke-15, dalam masa terdekat

Beliau menjangkakan persidangan pertama Parlimen selepas pembentukan kerajaan baharu diadakan pada bulan depan.

“Saya rasa perhatian utama sekarang ialah bagi pembentangan bajet mini bagi menjamin operasi negara berjalan lancar bagi Januari 2023, jadi ia (persidangan) perlu dibuat sebelum tahun baharu (2023),” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara, di sini hari ini.

Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 hari ini.

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata satu sesi sidang khas Parlimen perlu diadakan bagi membentangkan belanjawan khas atau mini Bajet 2023 antaranya untuk membayar gaji penjawat awam sebelum 31 Disember.

Bajet 2023 dibentangkan pada 7 Okt lepas oleh menteri kewangan ketika itu Tengku Zafrul Aziz dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion manakala Parlimen dibubarkan tiga hari selepas itu bagi memberi memberi laluan pilihan raya umum ke-15 diadakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.