
Calon yang disahkan bertanding ialah Sofee Razak dari Pakatan Harapan, iaitu calon baharu gabungan itu bagi menggantikan M Karupaiya yang meninggal dunia beberapa hari sebelum mengundi.
Turut disahkan bertanding ialah Azman Nasrudin daripada Perikatan Nasional (PN), C Sivarraajh (Barisan Nasional), Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Bakri Hashim (Warisan) dan K Sreanandha Rao (Bebas).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Disember ini sebagai hari mengundi.
Bakri tidak hadir pada pencalonan hari ini kerana ia tidak diwajibkan.
Sofee, merupakan setiausaha PKR Kedah, diumumkan sebagai calon PH malam tadi. Walaupun terdapat laporan ketidakpuasan hati terhadap pencalonannya di kalangan akar umbi PKR, Sofee menegaskan semua ahli perlu akur dengan keputusan parti.
Dalam pada itu, katanya, beliau akan menumpukan masanya untuk mengadakan rundingan damai dengan akar umbi dan bekerja keras sepanjang berkempen.
“Saya memikul tanggungjawab besar mendiang Karupaiya dan mahu menang kerusi ini untuk PH,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PN Kedah Sanusi Md Nor berkata, beliau yakin gabungan itu akan mendapat “kemenangan mudah” di Padang Serai.
“PN akan menambah satu lagi kerusi di Padang Serai dan satu kerusi DUN di Tioman, berdasarkan gelombang politik semasa di mana pengundi telah menolak PH dan BN. Ia akan menjadi laluan mudah untuk kami menang,” katanya.
Terdapat 133,867 pengundi di kawasan itu, di mana 62% daripadanya adalah Melayu, diikuti India (19%), Cina (17%), dan lain-lain (0.7%).