
Anwar berkata, beliau kini sedang memberi tumpuan antaranya pelaksanaan reformasi.
“PRU akan datang lama lagi.
“Saya sedang beri tumpuan untuk terus melaksanakan reformasi dan tangani masalah dihadapi rakyat.”
“Dua perkara ini akan menjadi keutamaan utama tahun depan,” katanya dalam pertemuan bersama editor.
Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada akan memanggil PRU lebih awal memandangkan petunjuk ekonomi yang semakin baik dan pengukuhan nilai ringgit.
Penggal kerajaan persekutuan ketika ini akan berakhir pada Disember 2027, justeru PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
Anwar, yang juga merupakan menteri kewangan, turut menjanjikan prospek lebih baik bagi Malaysia pada masa hadapan.
“Walaupun keadaan kini secara relatifnya lebih baik, ia akan menjadi lebih baik lagi pada masa akan datang,” katanya.
Dua bulan lalu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mencadangkan PRN 11 negeri di Semenanjung diadakan secara serentak dengan PRU16 atas alasan ia penjimatan kos dan menyelaraskan semula penggal kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri.
Jabatan Perangkaan menyatakan pada September lalu, petunjuk ekonomi negara bertambah baik pada bulan itu dengan Indeks Pelopor mencatatkan peningkatan 0.8% kepada 113.3 mata. Tahun lalu, ia berada pada paras 112.4 mata.