Tak panggil PRU awal, PM perlu ‘bernafas’ lunas reformasi

Tak panggil PRU awal, PM perlu ‘bernafas’ lunas reformasi

Penganalisis Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri ramal Anwar Ibrahim bubar Parlimen selepas langsai tunggakan janji reformasi.

Penganalisis berpandangan tidak memanggil PRU awal bukan sahaja demi melindungi kerajaan, malah PH-BN perlu masa selesai agihan kerusi PRN Melaka dan Johor sebelum ke medan PRU16. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memerlukan ‘tempoh bernafas’ bagi kerajaan melunaskan pelbagai janji reformasi tertunggak selepas menyatakan PRU awal bukan keutamaan pentadbirannya ketika ini.

Penganalisis Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, isyarat itu juga penting bagi memberikan jaminan kestabilan dasar kepada pelabur asing, sekali gus menyuntik keyakinan mereka terus melabur.

Katanya, rombakan Jemaah Menteri baru-baru ini memberi gambaran jentera pentadbiran diidamkan Anwar tidak mencapai matlamat diinginkan.

“Nampaknya, kerajaan Madani masih lagi tidak ‘perform’. Kalau sudah mencapai matlamatnya, pasti perdana menteri berani mendapatkan mandat baharu untuk menjamin kesinambungan usaha yang telah dilakukan.

“Akan tetapi, kenyataan itu menunjukkan beliau belum bersedia dan pastinya kerajaan ketika ini memerlukan masa lagi untuk menunaikan janji reformasi dibuat sebelum ini,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, masa diperlukan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan konflik agihan kerusi, khususnya di Melaka dan Johor secara tertutup sebelum ke medan PRU.

“Ini bukan sekadar melindungi kerajaan…namun jika reformasi gagal atau konflik PH-BN berlarutan, ia sebaliknya boleh menjadi senjata makan tuan — rakyat akan melihat perdana menteri kerana takut kehilangan kuasa,” katanya.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menyifatkan ia sebagai strategi terancang ‘membeli masa’ bagi memantapkan prestasi kerajaan.

Katanya, pembangkang mungkin leka dan berada dalam keadaan tidak bersedia memandangkan kuasa mutlak membubarkan Parlimen berada sepenuhnya di tangan perdana menteri mengikut kesesuaian masa dan kestabilan gabungan PH-BN.

“Kalau PH-BN berada dalam kedudukan baik, mungkin (PRU) akan disegerakan. Tetapi, hakikatnya banyak perlu mereka lakukan bagi memperbaiki kesilapan dibuat ketika PRN Sabah lepas,” katanya.

Rabu lalu, FMT melaporkan Anwar berkata PRU akan datang tidak akan diadakan dalam masa terdekat walaupun prospek ekonomi kini dilihat lebih positif.

Penggal kerajaan persekutuan ketika ini akan berakhir pada Disember 2027, justeru PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

September lalu, Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali menjangkakan PRU16 diadakan tahun depan, kemungkinan serentak dengan beberapa PRN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.