Isnin depan cuti umum, kata Anwar

Isnin depan cuti umum, kata Anwar

Perdana menteri berkata, beliau sudah membincangkan perkara itu dengan Yang di-Pertuan Agong.

Anwar Ibrahim berkata, beliau memutuskan esok bukannya cuti umum, sebaliknya ia diganti dengan 28 Nov ini.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengisytiharkan Isnin depan sebagai cuti umum di seluruh negara.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, beliau sudah membincangkan perkara itu dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan ketua setiausaha negara.

“Saya bersyukur kerana hari ini dan sebelumnya keadaan dan keyakinan pelabur juga berubah, ringgit diperkuat dan bursa lebih segar.

“Saya telah memutuskan bahawa esok tidak akan cuti, tetapi ia akan diganti (ke depan) Isnin,” katanya dalam sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10.

Beliau berkata, antara fokus utamanya sebagai perdana menteri adalah pemulihan ekonomi dan integriti dalam pentadbiran kerajaan.

“Mari kita fokus pada ekonomi dan buat apa saja untuk memulihkannya supaya kebajikan rakyat, khasnya golongan miskin dan terpinggir, akan dilindungi.”

Bernama hari ini melaporkan ringgit naik 1.8% ke paras tertinggi dalam tempoh lebih dua bulan berbanding dolar AS, selepas pelantikan Anwar.

Pada 6 petang tadi, ringgit melonjak kepada 4.4910/5000 berbanding dolar AS daripada 4.5725/5775 pada Rabu.

Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi tiga bulan, dengan indeks utama meningkat sebanyak 4.04% berikutan sentimen pasaran menaik disebabkan situasi politik tempatan reda serta perkembangan luaran positif yang mendorong minat risiko pelabur.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau akan masuk pejabat sebelum 10 pagi esok dan mengulangi janji pilihan raya umum untuk tidak mengambil gaji sebagai perdana menteri.

Walaupun beliau tidak menyentuh isu itu dalam sidang media, tetapi presiden PKR itu sudah berjanji akan mengurangkan jumlah menteri dalam Jemaah Menteri dan gaji mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.