
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican berkata peningkatan kapasiti itu berbanding 5,000 transaksi per minit sebelum ini dibuat supaya tiada masalah gangguan teknikal terutama ketika cuti umum.
“Setiap hari MyKasih melaksanakan penambahbaikan dan berusaha untuk meningkatkan kapasiti. Kami juga membuat persediaan terutama ketika cuti umum yang panjang kerana dijangka jumlah pengguna yang ramai.
“Apabila kita memasang sistem (MyKasih) ini, kita pasang kapasiti untuk 5,000 transaksi per minit. Kini, kita pasang kapasiti untuk 15,000 transaksi per minit,” katanya dalam sesi taklimat di Kementerian Kewangan.
Pada Ahad lalu, pasukan teknikal MyKasih giat menyelesaikan isu gangguan sistem terminal yang mengalami kelewatan memproses transaksi susulan lonjakan jumlah pembelian penerima SARA.
Sebanyak RM91 juta dibelanjakan dalam tempoh dua hari di bawah inisiatif Penghargaan SARA RM100 yang bermula 31 Ogos lalu.
Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 sekali beri kepada setiap warganegara berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA yang terpakai untuk pembelian barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.
Perdana menteri berkata, pemberian sempena sambutan Hari Kebangsaan itu merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain penghargaan kepada rakyat, yang memanfaatkan 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.
Kredit RM100 di bawah Penghargaan SARA boleh digunakan sehingga 31 Dis 2025 di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.