
STR fasa 2 membabitkan peruntukan RM1.7 bilion, meningkat daripada RM1.5 bilion pada tahun sebelumnya, dengan jumlah maksimum sehingga RM650 setiap penerima.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata peningkatan peruntukan STR dan Skim Bantuan Asas Rahmah (Sara) sebanyak RM3 bilion atau 30% kepada RM13 bilion pada tahun ini, antara usaha kerajaan membantu rakyat menghadapi kos sara hidup tinggi, terutama menjelang sambutan Aidilfitri.
“Kerajaan Madani kekal peka akan keperluan golongan terbanyak dalam mengharungi beban kos sara hidup.
“Peningkatan peruntukan ini adalah ikhtiar untuk meningkatkan martabat hidup rakyat secara saksama,” katanya yang juga menteri kewangan dalam kenyataan.
Bantuan STR akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima yang berdaftar, manakala bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran akan disalurkan secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.
Dalam usaha memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat, kerajaan juga telah memperkenalkan pendekatan baharu dengan membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun.
“Mereka yang belum berdaftar dalam pangkalan data STR boleh membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi dilakukan sebelum kelayakan bantuan dimuktamadkan.
“Langkah ini selaras komitmen kerajaan untuk memperluaskan bantuan kewangan kepada golongan memerlukan, selaras dengan dasar inklusif yang diperjuangkan di bawah konsep Malaysia Madani,” menurut kenyataan itu.