JDT ke final Piala Malaysia, Johor cuti 28 April

JDT ke final Piala Malaysia, Johor cuti 28 April

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengajak penyokong memeriahkan sambutan JDT menjuarai Liga Super 11 kali berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim 27 April ini.

jdt
JDT kini dalam misi mengekalkan kejuaraan buat kali kelima selepas meraih empat gelaran Piala Malaysia pada 2017, 2019, 2022 dan 2023. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Kerajaan Johor mengisytiharkan Isnin depan hari cuti peristiwa bagi negeri itu sebagai tanda sokongan padu dan penghargaan terhadap pencapaian cemerlang pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi melalui hantaran Facebooknya mengucapkan tahniah kepada JDT kerana mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-2025 menentang Sri Pahang pada Sabtu ini.

“Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas visi, perancangan dan usaha luar biasa dalam menjadikan JDT kelab bola sepak berprestij bukan sahaja di Malaysia, bahkan turut disegani di rantau Asia.”

Beliau berkata, JDT kini dalam misi mengekalkan kejuaraan buat kali kelima selepas meraih empat gelaran Piala Malaysia pada 2017, 2019, 2022 dan 2023.

“Ayuh, seluruh penyokong Harimau Selatan, kita banjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan penuh dan menjadi pemain ke-12 untuk perlawanan ini. Semoga kemenangan milik pasukan JDT.”

Onn Hafiz turut mengajak penyokong memeriahkan sambutan JDT menjuarai Liga Super 11 kali berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 malam 27 April ini.

“Ayuh, kita terus gegarkan Stadium Sultan Ibrahim dalam satu sambutan penuh gilang-gemilang untuk Chapter 2: The 11. Mari kita hadir beramai-ramai, kibarkan bendera biru merah dan raikan pasukan kebanggaan kita, Johor Darul Ta’zim.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.